Lawatan Malaysia Healthcare Travel ke Utusan Melayu
22 November
2018 (Khamis) – Pengurusan Malaysian Healthcare Travel Council (MHTC) telah
mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Lawatan
diketuai oleh Pengurusnya, Tutie Masliani dan beberapa orang pegawai dari MHTC.
Rombongan disambut oleh Pengurus Komunikasi Korporat, Nik
Anura Nik Abdul Rahman. Tujuan lawatan ini diadakan untuk mempromosikan
anugerah penulisan kesihatan yang bakal diadakan oleh MHTC. Selain bertukar
pandangan dan mengeratkan hubungan antara dua pihak, rombongan turut di bawa
melawat ke sekitar Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo!. Turut hadir semasa
lawatan tersebut, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah.
Lawatan Pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM)
Kampus Rembau Negeri Sembilan ke Utusan Melayu
14
November 2018 (Rabu) - Seramai 28 orang pelajar berserta 9 orang pensyarah dari Fakulti Komunikasi
dan Pengajian Media Universiti Teknologi
Mara (UiTM) Kampus Rembau Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan ke pejabat
Utusan Melayu baru-baru ini.
Lawatan yang diketuai oleh Pensyarahnya, Mohamed Shafiq Ayub
disambut oleh Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat, Zurina Yahya. Selain mengeratkan hubungan antara satu sama lain, lawatan tersebut juga
bertujuan untuk memberi pendedahan tentang penerbitan berita dalam industri
media dan teknologi yang digunakan pada masa kini. Rombongan pelajar tersebut
turut diberi taklimat tentang latihan dan bengkel yang disediakan oleh
Sibermedia Sdn Bhd dan turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan
Malaysia. Diharapkan lawatan tersebut dapat membuka minda pelajar-pelajar untuk
merancang kerjaya mereka pada masa hadapan serta membantu pembelajaran mereka
khususnya dalam bidang media dan komunikasi.
Lawatan Pelajar Fakulti Bahasa Utusan Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM)
12
November 2018 (Isnin) - Seramai 17 orang pelajar Fakulti Bahasa Utama Universiti
Sains Islam Malaysia (USIM) Nilai Negeri Sembilan telah mengadakan lawatan ke
pejabat Utusan Melayu baru-baru ini.
Lawatan yang diketua oleh
pensyarahnya, Dr Suriani Othman dan disambut mesra oleh Pengarah Eksekutif
Sibermedia Sdn Bhd, Ainol Amriz Ismail dan dibawa ke Studio Pintar untuk sesi
taklimat tentang bengkel dan latihan yang dijalankan oleh Sibermedia. Selain
taklimat, para pelajar juga turut dibawa ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia
bagi melihat secara jelas proses penerbitan akhbar dan grafik. Semoga lawatan
ini memberi manfaat sepenuhnya kepada pelajar yang hadir.
Program Tamankan Hati Keluarga Utusan
7
November 2018 (Rabu) – Program Tamankan Hati Keluarga Utusan telah diadakan di
Dewan Utusan dan disertai oleh hampir 300 orang kakitangan Kumpulan Utusan. Program
yang dianjurkan setiap minggu itu diadakan bertujuan bagi menyerap nilai
kerohanian dalam setiap warga kerja. Program kali ini menampilkan pendakwah
bebas iaitu Habib Ali Zaenal Abidin Al-Hamid yang menyampaikan tazkirah kepada
kakitangan pada pukul 12.30 tengah hari. Selepas tazkirah, turut diadakan solat zohor dan solat hajat berjemaah. Semoga program kerohanian
ini dapat diteruskan pada masa akan datang demi mewujudkan suasana harmoni
dalam kalangan warga kerja Kumpulan Utusan.
Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia lebih segar dan dinamik
16 September
2018 (Ahad) – Akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia kini berwajah baharu
dan tampil lebih segar, kemas, dinamik daripada aspek kandungan dan perubahan saiz
kompak yang lebih memuaskan pembacaan dan senang untuk dibawa berbanding saiz
‘broadsheet’ yang kelihatan lebih nipis.
Perubahan wajah Utusan Malaysia dan
Mingguan Malaysia ini adalah komitmen penambahbaikan dan usaha berterusan
Utusan Melayu dalam menyajikan bahan berita yang bernilai tinggi buat para
pembacanya.
Majlis Pelancaran wajah baharu Mingguan
Malaysia dan Utusan Malaysia di beberapa lokasi di di ibu negara mendapat
sambutan hangat dari pembaca. Di pusat membeli belah Sogo, hampir 3,000 pembaca
membanjiri sekitar ruang hadapan kompeks beli belah tersebut bagi mendapatkan
akhbar Mingguan Malaysia yang berwajah baharu.
Turut memeriahkan majlis pelancaran adalah
penerbit filem terkenal Datuk Yusof Haslam dan anaknya yang juga pengarah dan
pelakon berbakat Shamsul Yusof dan barisan pelakon Munafik seperti Fizz Fairuz,
Mawi dan Nasir Bilal Khan.
Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli
Hamzah, Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman dan Penolong
Pengarang Minggguan Malaysia Azman Anuar juga hadir pada majlis pelancaran.
Wajah baharu ini bukanlah semata-mata
pembaharuan dari segi saiz dan reka bentuk tetapi juga dari segi pengisian yang
lebih terbuka dan bebas kepada semua pihak. Transformasi tersebut juga bukan
semata-mata untuk menaikkan hasil jualan, tetapi sebagai langkah strategik
menarik lebih ramai syarikat swasta, sektor korporat dan komersial menyiarkan
iklan operasi serta perniagaan masing-masing di akhbar Utusan Malaysia mahupun
di Mingguan Malaysia.