Monday 27 June 2016

Sambungan Tinta Online Volume 11/2016 - 27 Jun 2016

Mesyuarat Agung Tahunan 2016

25 Mei 2016 (Rabu) – Mesyuarat Agung Tahunan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kali ke-48 telah diadakan pada hari rabu lalu di Dewan Besar yang dipengerusikan oleh Pengerusi Utusan Melayu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan dihadiri hampir 100 pemegang saham.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu dimulai dengan mengesahkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2015. Utusan Melayu mencatatkan perolehan lebih rendah sebanyak RM248.9 juta, menurun 14.5 peratus berbanding RM291.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kos operasi dan pendapatan lain yang lebih tinggi membolehkan syarikat mencatat kerugian bersih lebih rendah iaitu RM21 juta pada 2015 berbanding RM82 juta pada 2014.

Pelbagai langkah dan inisiatif akan diambil bagi mempelbagaikan portfolio syarikat, ini termasuk memberi fokus untuk memperkukuhkan segmen digital media, pelaburan hartanah, penambahbaikan penerbitan surat khabar, penjenamaan semula dan mempergiatkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.

Selain itu, Utusan Melayu juga mempunyai perancangan dalam tempoh lima tahun untuk menyediakan kepelbagaian media termasuk radio dan televisyen sekali gus meletakkan syarikat sebagai hypermarket media.

Diharap Utusan Melayu kembali mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat berdasarkan beberapa langkah yang diambil dan akan terus komited untuk melakukan penambahbaikan dalam inovasi media melibatkan Utusan, Kosmo!, Utusan Online dan terbaharu pelancaran wajah baharu Sabtu serta strategi pemasaran.

Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-48 di Dewan Besar.

Antara pemegang saham yang hadir.

Pemegang-pemegang saham menumpu perhatian sepenuhnya semasa mesyuarat berlangsung.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) menjawab pertanyaan wartawan ketika sidang media berlangsung sambil diperhatikan oleh Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (tengah) dan Datuk Abd Aziz Ishak (kanan).

Lawatan RapidKL ke Loji Percetakan Sri Utusan Bangi dan Utusan Karya Sdn Bhd


26 Mei 2016 (Khamis) – Seramai 20 orang kakitangan Rapid Rail Laluan Ampang (RapidKL) yang diketuai oleh Pengurus Stesen, Ahmad Nizam Abdul Hamid mengadakan lawatan ke Loji Percetakan Kompleks Sri Utusan Bangi. Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Pengurus dan Pegawai Stesen RapidKL mengenai proses percetakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! serta teknologi percetakan pada masa kini. Lawatan tersebut disambut oleh Eksekutif Kanan Pengeluaran, Wan Mohamed Redza. Selain dibawa melawat sekitar kilang, rombongan juga turut dibawa melawat ke Utusan Karya Sdn. Bhd bagi melihat secara langsung proses penerbitan majalah dan beramah mesra dengan pengarang-pengarang majalah. Semoga lawatan ini memberi manfaat sepenuhnya kepada rombongan RapidKL.

Rombongan bergambar kenangan di pintu masuk Kompleks Sri Utusan.

Kakitangan RapidKL tidak melepaskan peluang bergambar bersama Pengarang Urtv, Kamal Huzaini Kamaludin (Huzz) di pejabat Utusan Karya Sdn Bhd.

Pengarang Kanan Unit Majalah Umum, Zulkarnain Zakaria bergambar bersama kakitangan RapidKLdi Pejabat Utusan Karya Sdn Bhd.

Wan Mohamed Redza (kiri) menerangkan sesuatu mengenai proses percetakan akhbar kepada kakitangan RapidKL sewaktu mengadakan lawatan ke Loji Percetakan Kompleks Sri Utusan.


Majlis Pelancaran Sisipan Khas ’Pekema Auto’

2 Jun 2016 (Khamis) – Majlis Pelancaran Sisipan Khas ’Pekema Auto’ telah diadakan pada hari Khamis lalu bertempat di Dewan Besar Utusan Melayu. Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu dihadiri oleh ahli-ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan Pengurusan Kanan Kumpulan Utusan.

Pekema menjalinkan kerjasama strategik dengan Kumpulan Utusan bagi menerbitkan sisipan Pekema Auto pada setiap hari Jumaat menerusi akhbar Utusan Malaysia dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Utusan Media Sales Sdn Bhd (UMES) dan Pekema telah diadakan semasa majlis berlangsung. UMES diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan Pekema diwakili oleh Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman manakala Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah selaku saksi.

Selain itu, gimik pelancaran Pekema Auto disempurnakan oleh kira-kira 20 ahli Pekema Riders yang membawa sisipan itu sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum menyerahkannya kepada Zainuddin dan Noordin. Dalam majlis itu, Yayasan Pekema turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi bagi membaik pulih bangunan maahad itu yang mengalami kerosakan akibat kebakaran dan RM10,000 kepada pesakit saraf, Faridah Ismail bagi membiayai kos perubatannya.

Sisipan Pekema Auto bertujuan untuk mengurangkan jurang informasi antara Pekema dan masyarakat selain menjadi medium untuk mempromosikan produk-produk yang dimiliki ahli persatuan tersebut. Diharapkan sisipan tersebut dapat menyampaikan suara ahli Pekema khususnya kepada kerajaan dalam menjadikan industri kereta import terpakai ini sebagai antara industri penting buat negara.

TERMETRAI.. Datuk Mohd Noordin Abbas bertukar dokumen perjanjian dengan Datuk Zainuddin Abd. Rahman sambil diperhatikan oleh Datuk Abd Aziz Ishak dan Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Datuk Zainuddin Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit saraf, Faridah Ismail sambil disaksikan oleh Datuk Mohd Noordin Abbas (tiga dari kiri).

Suasana meriah ketika gimik pelancaran berlangsung.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Zainuddin Abd Rahman sebagai tanda kenang-kenangan.

Datuk Noordin Abbas (lima dari kiri) bersama Pengurusan Kanan Kumpulan Utusan bergambar di pameran Pekema Auto di perkarangan pintu masuk Utusan Melayu,


Mountain Dew Edar Minuman Percuma


3 Jun 2016 (Jumaat) – Syarikat minuman berkarbonat terkenal, Mountain Dew berbesar hati mengedarkan minuman percuma kepada warga kerja Kumpulan Utusan sempena kempen “It Doesn’t Exist Until You Do It” yang berlangsung pada 13 Mei hingga 4 Jun 2016 di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lori pembancuh simen. Edaran yang bermula pada pukul 3.00 petang itu turut menyediakan “mini games” buat kakitangan bagi mendapatkan minuman percuma tersebut dan berakhir pada pukul 4.00 petang.

Warga kerja Kumpulan Utusan beratur panjang bagi mendapatkan minuman percuma dari Mountain Dew.

Antara kakitangan yang hadir bagi mendapatkan minuman percuma

Sekitar pemberian minuman percuma kepada kakitangan Kumpulan Utusan.

Salah seorang kakitangan mencuba aktiviti yang disediakan oleh Mountain Dew menggunakan lori pembancuh simen.

Kakitangan Kumpulan Utusan menunjukkan botol minuman Mountain Dew yang diberikan secara percuma. 


Tahniah Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh

4 Jun 2016 (Sabtu) – Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Kumpulan Utusan, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di atas penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Tan Sri Mohamad Fatmi adalah antara 52 individu yang menerima anugerah darjah kebesaran PSM. Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, dilantik sebagai Pengerusi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh

Kosmo!, Mingguan Malaysia dan E-Paper Utusan Malaysia Akhbar Nombor Satu Negara

Akhbar Kosmo! yang mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004 menjadi akhbar harian bahasa Melayu nombor 1 selepas mencatatkan jumlah edaran sebanyak 187,967 naskhah sehari sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan terkini yang dikeluarkan Audit Bureau of Circulations (ABC) itu, Kosmo! yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan unggul pada kedudukan pertama mengatasi Harian Metro yang mencatat edaran 179,231 naskhah diikuti Utusan Malaysia (154,776) dan Berita Harian (106,754).

Akhbar mingguan terbitan Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia pula kekal menjadi akhbar mingguan berbahasa Melayu No. 1 dengan edaran sebanyak 336,233 naskhah diikuti Metro Ahad (207,119), Kosmo! Ahad (205,520) dan BH Ahad (109,811).

Manakala, akhbar digital E-Paper Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia pula terus kekal nombor satu buat kali ketiga berturut-turut dalam perangkaan Audit Bereau of Circulation (ABC) untuk kategori Akhbar Bahasa Malaysia bagi tempoh Julai – Disember 2015.

Audit yang dijalankan setiap setengah tahun ini menunjukkan pencapaian terkini E-Paper Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia masing-masing adalah 4,084 dan 4,035 purata naskhah sehari. Kedudukan diikuti rapat oleh akhbar Bahasa Malaysia yang lain iaitu Berita Harian (3,766 naskhah), BH Ahad (3,765 naskhah), Harian Metro (1,743 naskhah) dan Metro Ahad (1,741 naskhah).

Kejayaan ini adalah hasil dari jualan segmen korporat, jualan di pasaran terbuka, jualan gerai dan pelbagai lagi jualan promosi yang diadakan sepanjang tahun 2015. E-Paper Utusan Malaysia mula di audit pada tahun 2013 dan angka edaran naskhah meningkat dari tahun ke tahun.

Jabatan Pemasaran yakin bahawa kedudukan ini dapat dikekalkan pada perangkaan ABC yang akan datang berdasarkan rekod jualan yang semakin meningkat melalui strategi dan pelan taktikal yang sedang giat dijalankan berserta dengan sokongan dari pelbagai pihak.

































Sunday 26 June 2016

Tinta Online Volume 11/2016 - 27 Jun 2016

20 Kanak-kanak Pesakit Kanser HKL diraikan
           
30 April 2016 (Sabtu) - Seramai 20 Kanak-kanak Penghidap Kanser Hospital Kuala Lumpur (HKL) diraikan dalam satu program USIM Street Dakwah For HKL Cancer Kids pada 30 April 2016 anjuran Pusat Kebudayaan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan kerjasama Utusan Malaysia.

Program yang bermula pada pukul 10.30 pagi dimulakan dengan sesi melawat dan beramah mesra dengan kanak-kanak yang disertai oleh 60 pelajar USIM dan beberapa kakitangan Utusan Melayu. Selain itu, beberapa acara diadakan bagi menyuntik semangat kanak-kanak antaranya persembahan busking, dikir barat, tarian dan beberapa acara lain pada sebelah petang di Pusat Membeli Belah Alamanda Putrajaya antaranya penyampaian seni seperti lakonan teater.

USIM Street Dakwah yang telah berlangsung dengan jayanya dihadiri oleh kesemua pihak yang terlibat secara langsung dalam menjayakan program ini. Program tersebut turut sama dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Naib Canselor USIM, Datuk Dr. Musa Ahmad, Pengerusi Kumpulan Ibubapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser Hospital Kuala Lumpur (HKL Kids Cancer), Puan Hamidah dan Pengarah Pusat Kebudayaan, En. Ismail Ahmed. Program kali ini dimeriahkan dengan kedatangan ibubapa kepada pesakit kanak-kanak kanser bagi menyokong usaha Urusetia Kesenian Pelajar USIM dalam menyampaikan kesedaran kepada orang ramai mengenai kanser.

Tujuan program kali ini diadakan untuk mengutip sumbangan bagi disalurkan kepada HKL Kids Cancer serta meningkatkan kesedaran dalam kalangan masyarakat mengenai kanser yang dialami oleh kebanyakan generasi muda.

Datuk Dr. Musa Ahmad meniup belon untuk diberikan kepada Mohammad Danish Mariff, 11, sambil diperhatikan Datuk Mohd Noordin Abbas

Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) turut mendeklamasikan sebuah puisi buat kanak-kanak yang hadir ke Program USIM Street Dakwah di Putrajaya.
Datuk Mohd Noordin Abbas bergambar bersama Pengurusan Kanan Utusan Melayu, USIM dan pesakit kanak-kanak HKL.

Kanak-kanak membaca doa sebelum majlis bermula.

Datuk Mohd Noordin Abbas menyampaikan sumbangan kepada salah seorang pesakit di wad kanak-kanak HKL.

Datuk Mohd Noordin Abbas bertanyakan sesuatu kepada bapa kepada salah seorang pesakit ketika mengadakan lawatan di wad kanak-kanak HKL. 

Kunjungan UMES Ke Pusat Kelip-Kelip, Kg Kuantan, Kuala Selangor

8–21 Mei 2016 (Sabtu-Ahad) – Utusan Media Sales Sdn Bhd (UMES) telah mendapat jemputan dari Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi mengadakan lawatan sambil beriadah di Pusat Kelip-Kelip, Kg Kuantan Kuala Selangor.

Rombongan dari UMES telah dibahagikan kepada tiga kumpulan iaitu kumpulan pertama yang berkunjung pada 8 Mei 2016, manakala kumpulan kedua pada 14 Mei 2016 dan kumpulan ketiga pada 21 Mei 2016.

Selain dibawa melawat sekitar Pusat Kelip-Kelip, rombongan turut diberi penerangan oleh kakitangan Pusat tersebut melalui tayangan video tentang pemuliharaan Kelip-Kelip di Kg, Kuantan. Selain itu, pihak TNB juga berkongsi maklumat mengenai kajian yang telah dilakukan terhadap kelip-kelip serta kawasan persekitarannya.

Kakitangan UMES juga turut merasai pengalaman manis dengan menaiki sampan yang disediakan untuk menyusuri sungai bagi melihat keindahan kelip-kelip di kawasan tersebut. Diharap TNB dapat meneruskan lagi aktiviti seperti ini di masa akan datang dan semoga lawatan ini memberi manfaat sepenuhnya kepada warga UMES.



Kakitangan TNB memberi penerangan kepada rombongan UMES yang terlibat.

Penerangan video tentang kelip-kelip oleh kakitangan TNB.

Kumpulan Ketiga bergambar bersama seusai lawatan.

Peserta dari Kumpulan Pertama menerima cenderhati daripada Kakitangan TNB.

Sekitar pemandangan Pusat Kelip-kelip.

Wakil kumpulan kedua menerima cenderahati.

wakil kumpulan ketiga menerima cenderahati.

Festival Hari Guru 2016 di Universiti Malaysia Sabah (UMS)

13 – 16 Mei 2016 (Jumaat – Isnin) - Dalam meraikan sambutan Hari Guru pada kali ini, Kumpulan Utusan menerusi Unit Pendidikan telah diberi kepercayaan sekali lagi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menganjurkan Festival Hari Guru 2016 kali ke-8 yang telah disambut meriah di Universiti Malaysia Sabah (UMS) pada 13 Mei hingga 16 Mei lalu.

Dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan yang dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan aktiviti antaranya Choral Speaking, ’Larian Tatap Bah Sayang Cikgu’, Pertandingan Nasyid Kontemporari, Pameran Fotografi Kewartawanan dan pelbagai lagi.

Pelbagai ruang pameran turut dibuka termasuk gerai Kumpulan Utusan, studio penghias wajah, ruang jualan pelbagai produk, demonstrasi produk oleh pempamer, jualan buku dan majalah. Disamping itu, gerai Utusan juga turut menyelitkan beberapa aktiviti menarik khas buat pelajar dan pengunjung yang hadir antaranya jualan buku-buku dan majalah keluaran Utusan Karya Sdn. Bhd, Cabutan Bertuah, Susun Puzzle, Petandingan Rubik Kiub dan pelbagai lagi. 

Selain itu, festival kali ini mencatat sejarah tersendiri  paling diingati apabila 11,000 warga Kota Kinabalu membanjiri padang kawad di Universiti Malaysia Sabah (UMS) seawal pukul 4.00 pagi, pada 14 Mei untuk menjayakan program Larian ‘Tatap Bah Sayang Cikgu’.
Yang turut hadir, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Seri Masidi Manjun; Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Seri Dr. Khair Mohamad Yusof; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Pengarah Eksekutif YTL Corp., Datuk Yeoh Soo Keng dan Naib Presiden Kanan Jabatan Komunikasi Strategik Bank Simpanan Nasional (BSN), Puspamarina Omar.

Program itu ditaja sepenuhnya oleh YTL Communications Sdn. Bhd. (YTL) dan BSN serta turut disokong oleh UMS, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti, FAMA, Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) dan Unitar International University (Unitar).

Datuk Mohd Noordin Abbas (tida dari kiri) bergambar bersama Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Panglima Musa Aman (empat dari kiri) dan penari-penari dari Unitar di hadapan gerai Utusan.

Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kiri) bertanyakan sesuatu kepada pelajar UMS ketika melawat Pameran Lensa Rencam sambil disaksikan oleh Datuk Abdul Aziz Ishak (kanan).

Pengunjung memenuhi setiap pelusuk ruang gerai aktiviti Utusan bagi menyertai pelbagai aktiviti dan mendapatkan promosi jualan majalah.

BAGAIKAN LAUTAN.. orang ramai memenuhi Padang Kawad UMS seawal pukul 4.00 pagi bagi menyertai larian 'Tatap Bah Sayang Cikgu'.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) bergambar bersama Menteri Pendidikan Malaysia, Dato' Seri Mahadzir Khalid (tengah) di Gerai Penghias Wajah Utusan,

MEMUKAU.. Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyaksikan persembahan Ella dalam Konsert Pancaindera.

Kakitangan Utusan begitu sibuk melayan para pengunjung yang hadir untuk mendapatkan belon percuma di Gerai Aktiviti Utusan.

Festival kali ini turut diserikan dengan penari-penari Unitar.

Utusan Malaysia, UKM gamatkan Bintang-Bintang Berpuisi II

21 Mei 2016 (Sabtu) - Kumpulan Utusan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) buat kali kedua menganjurkan majlis Bintang-Bintang Berpuisi II di Persada Canselori UKM. Penganjuran ini merupakan kesinambungan edisi pertama yang mendapat respon positif daripada pelbagai pihak.

Majlis Bintang-Bintang Berpuisi merupakan salah satu komitmen Kumpulan Utusan dalam melestarikan kesusasteraan Melayu. Obor Perjuangan menjadi tema majlis bagi tahun ini yang berkisar tentang kisah hidup dan kehidupan, manusia dan kemanusiaan.

Sebagai sebuah organisasi media yang teras sejarahnya dicipta oleh golongan sasterawan, Bintang-Bintang Berpuisi adalah salah satu tanggungjawab khidmat sosial korporat selain usaha menghidupkan kembali budaya berpuisi sebagai warisan bangsa yang mempunyai nilai estetika yang tinggi.

Majlis kali ini menampilkan beberapa artis tanah air yang mendeklamasikan puisi dan diselang selikan dengan nyanyian lagu-lagu puisi dan gurindam, antaranya Siti Nordiana, Fizz Fairuz, Najwa Latif, Anis Al-Idrus, Ajak Shiro dan Projector Band. Selain itu, puisi tentang perjuangan bangsa Melayu antara intipati utama yang disampaikan oleh Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, YB. Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob, Pengarah Urusan Kumpulan, Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali turut mendeklamasikan puisi masing-masing yang diserikan dengan gurindam.

Pada masa yang sama, majlis hari ini turut menyaksikan upacara pelancaran wajah baharu Utusan Malaysia Edisi Sabtu oleh YB. Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob.

Selain Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, deklamasi puisi turut dipersembahkan oleh Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa UKM, Prof. Datuk Ir. Dr. Riza Atiq Abdullah O.K. Rahmat; Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar dan Alumni UKM, Prof. Datuk Noor Aziah Mohd. Awal; penulis khas majalah Mastika, Sahidan Jaafar; johan sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan Kebangsaan 2015, Muhammad Safwan Mohd. Yusof; Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim dan juara Utusan Berpuisi Semarak Merdeka, Rosparadila Abd. Rahman.

Penganjuran program seperti ini sememangnya satu inisiatif yang baik di mana ianya secara tidak langsung dapat menarik minat dan menerapkan ilmu kesusasteraan Melayu dalam kalangan mahasiswa.

Datuk Mohd Noordin Abbas mendeklamasikan puisi yang bertajuk 'Obor Perjuangan' sambil diiringi gurindam oleh Nur Ameera Nabila Azmi.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mendeklamasi puisi yang bertajuk 'Pesan Buat Anak Muda'.

Aksi bersahaja Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim ketika mendeklamasikan puisi.

Puisi yang bertajuk 'Tahu Tak Tahu' yang dibaca oleh Johardy Ibrahim dalam Majlis Bintang-Bintang Berpuisi II.
Penulis Khas Mastika, Sahidan Jaafar bersemangat ketika mendeklamasikan puisi.

Juara Utusan Berpuisi Semarak Merdeka, Rosparadila Abd Rahman turut mendeklamasikan sebuah puisi.

Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar bersama Pengurusan Kanan Utusan Melayu, UKM dan artis seusai majlis berlangsung,


Ajak Shiro begitu bersemangat ketika mendeklamasikan puisi.

Kelunakan suara Datuk Dr Zurinah Hassan terserlah ketika mendeklamasikan puisi bertajuk 'Cermin Sejarah'.

Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali menaruhkan satu puisi buat warga UKM yang bertajuk 'UKM Pendaulat Amanah Negara: Buat Seorang Teman'.

Gaya santai artis Anis Al-Idrus ketika mendeklamasikan puisi.

Lawatan Biro Tatanegara ke Utusan Melayu

23 Mei 2016 (Isnin) – Seramai 31 orang pegawai Biro Tatanegara (BTN) daripada seluruh negara telah mengadakan lawatan di Ibu Pejabat Utusan Melayu pada 23 Mei lalu. Rombongan BTN disambut oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail dan dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! untuk melihat secara dekat operasi penerbitan berita.

Sebelum itu, rombongan BTN telah diberi taklimat ringkas serta berpeluang bersoal jawab bersama pihak pengurusan Utusan Melayu yang diketuai oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Ybhg. Datuk Othman Mohamad.

Lawatan ini merupakan sebahagian daripada aktiviti di dalam Bengkel Penulisan Berita, Rencana, Buletin dan Kapsul Berita (Online) yang dianjurkan oleh Bahagian Penyelidikan dan Penerbitan (BPP) bermula pada 23-25 Mei 2016 di Akademi Kenegaraan, Jalan Bellamy, Kuala Lumpur.

Rombongan BTN diberi penerangan mengenai proses penerbitan akhbar ketika mengadakan lawatan di meja-meja pengarang Kosmo!.

Penolong Pengarang 1, Kosmo!, Mohd Nor Ab Samad bergambar bersama rombongan di pejabat Pengarang Kosmo!.

Penolong Pengarang 2 Utusan Malaysia/Prosesan, Rozaman Ismail memberi penerangan kepada rombongan BTN.

Rombongan BTN bergambar kenangan bersama Pengurusan Kanan Utusan Melayu di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia.


Lawatan Majlis Belia Daerah Jerantut


24 Mei 2016 (Isnin) – Seramai 40 orang kakitangan Majlis Belia Daerah Jerantut yang diketuai oleh Timbalan Pengerusi Majlis Belia Daerah Jerantut, Mohd Azan Abdul Kadir mengadakan lawatan ke Utusan Melayu (Malaysia) Berhad pada 24 Mei lalu. Rombongan tersebut disambut oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail dan beberapa editor kanan Utusan Malaysia dan Kosmo!. Dalam lawatan itu, mereka telah diberi taklimat mengenai operasi serta produk Kumpulan Utusan sebelum dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Jabatan Pengarang Kosmo!.

Pengarang Media Baharu, Aznan Bakar memberi penerangan mengenai proses penerbitan berita Utusan Online kepada rombongan yang hadir.

Rombongan disambut oleh Penolong Pengarang 2, Kosmo!, Lokman Othman ketika hadir melawat ke pejabat pengarang Kosmo!.

Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad bergambar bersama rombongan Majlis Belia Daerah Jerantut di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia.

Rombongan tidak melepaskan peluang bergambar di pejabat pengarang Kosmo!.

Sekitar Minggu Saham Amanah Malaysia 2016 di Stadium Mini Tapah Perak


Kakitangan Utusan sibuk melayan pengunjung yang hadir untuk menyertai aktiviti yang disediakan di Gerai Utusan.

Selain aktiviti, promosi jualan majalah dan buku-buku keluaran Utusan Karya juga terdapat di Gerai Utusan.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyertai pelbagai aktiviti Gerai Utusan sempena Minggu Saham Amanah Malaysia 2016.

Datuk Mohd Noordin Abbas (tengah) dan Datuk Abdul Aziz Ishak (empat dari kanan) bergambar bersama Pengurusan Kanan di Gerai Aktiviti Utusan.


 Disediakan oleh: 







Muhammad Syakkur Mamat (Syak)
Jabatan Komunikasi Korporat
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Tel         : 603-92324435
Faks       : 603-92210594
H/P        : 013-3986300
E-mel     : syakkur.mamat@utusan.com.my