Monday 27 June 2016

Sambungan Tinta Online Volume 11/2016 - 27 Jun 2016

Mesyuarat Agung Tahunan 2016

25 Mei 2016 (Rabu) – Mesyuarat Agung Tahunan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kali ke-48 telah diadakan pada hari rabu lalu di Dewan Besar yang dipengerusikan oleh Pengerusi Utusan Melayu, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh dan dihadiri hampir 100 pemegang saham.

Mesyuarat yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu dimulai dengan mengesahkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2015. Utusan Melayu mencatatkan perolehan lebih rendah sebanyak RM248.9 juta, menurun 14.5 peratus berbanding RM291.2 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya. Bagaimanapun, kos operasi dan pendapatan lain yang lebih tinggi membolehkan syarikat mencatat kerugian bersih lebih rendah iaitu RM21 juta pada 2015 berbanding RM82 juta pada 2014.

Pelbagai langkah dan inisiatif akan diambil bagi mempelbagaikan portfolio syarikat, ini termasuk memberi fokus untuk memperkukuhkan segmen digital media, pelaburan hartanah, penambahbaikan penerbitan surat khabar, penjenamaan semula dan mempergiatkan aktiviti tanggungjawab sosial korporat.

Selain itu, Utusan Melayu juga mempunyai perancangan dalam tempoh lima tahun untuk menyediakan kepelbagaian media termasuk radio dan televisyen sekali gus meletakkan syarikat sebagai hypermarket media.

Diharap Utusan Melayu kembali mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat berdasarkan beberapa langkah yang diambil dan akan terus komited untuk melakukan penambahbaikan dalam inovasi media melibatkan Utusan, Kosmo!, Utusan Online dan terbaharu pelancaran wajah baharu Sabtu serta strategi pemasaran.

Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (tiga dari kanan) mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan kali ke-48 di Dewan Besar.

Antara pemegang saham yang hadir.

Pemegang-pemegang saham menumpu perhatian sepenuhnya semasa mesyuarat berlangsung.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) menjawab pertanyaan wartawan ketika sidang media berlangsung sambil diperhatikan oleh Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh (tengah) dan Datuk Abd Aziz Ishak (kanan).

Lawatan RapidKL ke Loji Percetakan Sri Utusan Bangi dan Utusan Karya Sdn Bhd


26 Mei 2016 (Khamis) – Seramai 20 orang kakitangan Rapid Rail Laluan Ampang (RapidKL) yang diketuai oleh Pengurus Stesen, Ahmad Nizam Abdul Hamid mengadakan lawatan ke Loji Percetakan Kompleks Sri Utusan Bangi. Lawatan tersebut bertujuan untuk memberi pendedahan kepada Pengurus dan Pegawai Stesen RapidKL mengenai proses percetakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! serta teknologi percetakan pada masa kini. Lawatan tersebut disambut oleh Eksekutif Kanan Pengeluaran, Wan Mohamed Redza. Selain dibawa melawat sekitar kilang, rombongan juga turut dibawa melawat ke Utusan Karya Sdn. Bhd bagi melihat secara langsung proses penerbitan majalah dan beramah mesra dengan pengarang-pengarang majalah. Semoga lawatan ini memberi manfaat sepenuhnya kepada rombongan RapidKL.

Rombongan bergambar kenangan di pintu masuk Kompleks Sri Utusan.

Kakitangan RapidKL tidak melepaskan peluang bergambar bersama Pengarang Urtv, Kamal Huzaini Kamaludin (Huzz) di pejabat Utusan Karya Sdn Bhd.

Pengarang Kanan Unit Majalah Umum, Zulkarnain Zakaria bergambar bersama kakitangan RapidKLdi Pejabat Utusan Karya Sdn Bhd.

Wan Mohamed Redza (kiri) menerangkan sesuatu mengenai proses percetakan akhbar kepada kakitangan RapidKL sewaktu mengadakan lawatan ke Loji Percetakan Kompleks Sri Utusan.


Majlis Pelancaran Sisipan Khas ’Pekema Auto’

2 Jun 2016 (Khamis) – Majlis Pelancaran Sisipan Khas ’Pekema Auto’ telah diadakan pada hari Khamis lalu bertempat di Dewan Besar Utusan Melayu. Majlis yang bermula pada pukul 3.00 petang itu dihadiri oleh ahli-ahli Persatuan Pengimport dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia (Pekema) dan Pengurusan Kanan Kumpulan Utusan.

Pekema menjalinkan kerjasama strategik dengan Kumpulan Utusan bagi menerbitkan sisipan Pekema Auto pada setiap hari Jumaat menerusi akhbar Utusan Malaysia dan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Utusan Media Sales Sdn Bhd (UMES) dan Pekema telah diadakan semasa majlis berlangsung. UMES diwakili oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan Pekema diwakili oleh Presiden Pekema, Datuk Zainuddin Abd. Rahman manakala Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Presiden Pekema, Datuk Wan Zaid Wan Abdullah selaku saksi.

Selain itu, gimik pelancaran Pekema Auto disempurnakan oleh kira-kira 20 ahli Pekema Riders yang membawa sisipan itu sambil menunggang motosikal berkuasa tinggi sebelum menyerahkannya kepada Zainuddin dan Noordin. Dalam majlis itu, Yayasan Pekema turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM5,000 kepada Maahad Tahfiz Darul Itqan Al-Muhammadi bagi membaik pulih bangunan maahad itu yang mengalami kerosakan akibat kebakaran dan RM10,000 kepada pesakit saraf, Faridah Ismail bagi membiayai kos perubatannya.

Sisipan Pekema Auto bertujuan untuk mengurangkan jurang informasi antara Pekema dan masyarakat selain menjadi medium untuk mempromosikan produk-produk yang dimiliki ahli persatuan tersebut. Diharapkan sisipan tersebut dapat menyampaikan suara ahli Pekema khususnya kepada kerajaan dalam menjadikan industri kereta import terpakai ini sebagai antara industri penting buat negara.

TERMETRAI.. Datuk Mohd Noordin Abbas bertukar dokumen perjanjian dengan Datuk Zainuddin Abd. Rahman sambil diperhatikan oleh Datuk Abd Aziz Ishak dan Datuk Wan Zaid Wan Abdullah.

Datuk Zainuddin Abd Rahman (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada pesakit saraf, Faridah Ismail sambil disaksikan oleh Datuk Mohd Noordin Abbas (tiga dari kiri).

Suasana meriah ketika gimik pelancaran berlangsung.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Zainuddin Abd Rahman sebagai tanda kenang-kenangan.

Datuk Noordin Abbas (lima dari kiri) bersama Pengurusan Kanan Kumpulan Utusan bergambar di pameran Pekema Auto di perkarangan pintu masuk Utusan Melayu,


Mountain Dew Edar Minuman Percuma


3 Jun 2016 (Jumaat) – Syarikat minuman berkarbonat terkenal, Mountain Dew berbesar hati mengedarkan minuman percuma kepada warga kerja Kumpulan Utusan sempena kempen “It Doesn’t Exist Until You Do It” yang berlangsung pada 13 Mei hingga 4 Jun 2016 di sekitar Lembah Klang dengan menggunakan lori pembancuh simen. Edaran yang bermula pada pukul 3.00 petang itu turut menyediakan “mini games” buat kakitangan bagi mendapatkan minuman percuma tersebut dan berakhir pada pukul 4.00 petang.

Warga kerja Kumpulan Utusan beratur panjang bagi mendapatkan minuman percuma dari Mountain Dew.

Antara kakitangan yang hadir bagi mendapatkan minuman percuma

Sekitar pemberian minuman percuma kepada kakitangan Kumpulan Utusan.

Salah seorang kakitangan mencuba aktiviti yang disediakan oleh Mountain Dew menggunakan lori pembancuh simen.

Kakitangan Kumpulan Utusan menunjukkan botol minuman Mountain Dew yang diberikan secara percuma. 


Tahniah Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh

4 Jun 2016 (Sabtu) – Tahniah diucapkan kepada Pengerusi Kumpulan Utusan, Datuk Mohamad Fatmi Che Salleh di atas penganugerahan darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran Tan Sri sempena Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Muadzam Shah.

Tan Sri Mohamad Fatmi adalah antara 52 individu yang menerima anugerah darjah kebesaran PSM. Beliau yang merupakan bekas Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, dilantik sebagai Pengerusi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad berkuat kuasa 1 Disember lalu.

Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh

Kosmo!, Mingguan Malaysia dan E-Paper Utusan Malaysia Akhbar Nombor Satu Negara

Akhbar Kosmo! yang mula diterbitkan pada 31 Ogos 2004 menjadi akhbar harian bahasa Melayu nombor 1 selepas mencatatkan jumlah edaran sebanyak 187,967 naskhah sehari sepanjang Julai hingga Disember tahun lalu.

Berdasarkan perangkaan terkini yang dikeluarkan Audit Bureau of Circulations (ABC) itu, Kosmo! yang diterbitkan oleh Kumpulan Utusan unggul pada kedudukan pertama mengatasi Harian Metro yang mencatat edaran 179,231 naskhah diikuti Utusan Malaysia (154,776) dan Berita Harian (106,754).

Akhbar mingguan terbitan Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia pula kekal menjadi akhbar mingguan berbahasa Melayu No. 1 dengan edaran sebanyak 336,233 naskhah diikuti Metro Ahad (207,119), Kosmo! Ahad (205,520) dan BH Ahad (109,811).

Manakala, akhbar digital E-Paper Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia pula terus kekal nombor satu buat kali ketiga berturut-turut dalam perangkaan Audit Bereau of Circulation (ABC) untuk kategori Akhbar Bahasa Malaysia bagi tempoh Julai – Disember 2015.

Audit yang dijalankan setiap setengah tahun ini menunjukkan pencapaian terkini E-Paper Utusan Malaysia / Mingguan Malaysia masing-masing adalah 4,084 dan 4,035 purata naskhah sehari. Kedudukan diikuti rapat oleh akhbar Bahasa Malaysia yang lain iaitu Berita Harian (3,766 naskhah), BH Ahad (3,765 naskhah), Harian Metro (1,743 naskhah) dan Metro Ahad (1,741 naskhah).

Kejayaan ini adalah hasil dari jualan segmen korporat, jualan di pasaran terbuka, jualan gerai dan pelbagai lagi jualan promosi yang diadakan sepanjang tahun 2015. E-Paper Utusan Malaysia mula di audit pada tahun 2013 dan angka edaran naskhah meningkat dari tahun ke tahun.

Jabatan Pemasaran yakin bahawa kedudukan ini dapat dikekalkan pada perangkaan ABC yang akan datang berdasarkan rekod jualan yang semakin meningkat melalui strategi dan pelan taktikal yang sedang giat dijalankan berserta dengan sokongan dari pelbagai pihak.

































No comments:

Post a Comment