Tuesday 20 June 2017

Tinta Online Volume 4/2017 - 21 Jun 2017


Kumpulan Utusan, Angkasa, Bank Islam Raikan Anak-anak Yatim

8 Jun 2017 (Khamis) – Kumpulan Utusan dan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) sekali lagi meneruskan legasi meraikan anak-anak yatim Kumpulan Utusan setiap kali ketibaan Ramadan. Sambutan yang bersempena memperingati hari Nuzul al-Quran itu telah diadakan di Dewan Utusan. Seramai 54 anak-anak petugas syarikat yang telah meninggal dunia diraikan, tambah menarik majlis yang dianjurkan untuk tahun keenam itu dimeriahkan lagi dengan penyertaan Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB).
Majlis yang bermula sekitar pukul 6.00 petang itu dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Ustaz Mohammad Radzi Mohd. Zin dan diteruskan dengan majlis penyampaian sumbangan duit raya yang telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Strategi Bank Islam, Hizamuddin Jamalluddin.
Selain itu, anak-anak yatim turut dihiburkan dengan persembahan oleh penyanyi Aiman Tino yang mendendangkan beberapa buah lagu dan turut diserikan dengan persembahan maskot Didi & Friends yang khas buat tetamu yang hadir. Majlis yang berakhir sekitar pukul 8.00 malam itu turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Kewangan Bank Islam, Mohd. Muazzam Mohamed; Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Mohd. Nazri Chik; Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Angkasa, Borhan Mat Aris dan Yang Dipertua Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM), Saifol Bakhtiar Hamik.

Kesemua anak-anak yatim berkenaan menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Kumpulan Utusan dan BKUM selain cenderahati daripada syarikat pengeluar roti Gardenia dan BOH Plantations Sdn. Bhd.

Datuk Mohd Noordin Abbas (tengah) dan Datuk Abdul Fattah (duad ari kiri) menyampaikan sumbangan dan duit raya kepada anak-anak yatim Kumpulan Utusan.

Tetamu dan anak-anak yatim berbuka puasa dengan pelbagai juadah antaranya sate, kuih-muih, nasi beriyani dan lain-lain. 

Datuk Mohd Noordin Abbas ( dua dari kiri) berbual mesra bersama Datuk Abdul Fattah (kanan) sambil diperhatikan oleh Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kanan), Hizamuddin Jamaluddin (tengah) dan Saiful Bakhtiar Hamik (kiri).

Penyanyi Aiman Tinomenghiburkan tetamu dengan berduet bersama salah seorang anak yatim.

Tetamu dan anak-anak yatim memenuhi dewan sebelum majlis bermula. 

Penyanyi Aiman Tino menghiburkan tetamu dengan mendendangkan dua buah lagu. 

Maskot Didi & Friends turut hadir memeriahkan tetamu yang hadir. 


CERIA.. sesi bergambar bersama anak-anak yatim selepas menyampaikan sumbangan dan duit raya.


Program Inspirasiku TN50 & Masa Depan Generasi Muda Malaysia

29 Mei 2016 (Isnin) - Program bual bicara `Inspirasiku: TN50 dan Masa Depan Generasi Muda Malaysia’ di telah diadakan di Dewan Utusan baru-baru ini. Program yang dikendalikan oleh Pengarah, Institusi Pemikiran Tun Dr. Mahathir (IPDM), Dr. Haji Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri sebagai moderator dan dua orang ahli panel iaitu Ketua Setiausaha, Kementerian Belia dan Sukan, Datuk Lokman Hakim Ali dan Presiden, Majlis Belia Malaysia, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin. Program yang berlangsung pada pukul 11.30 pagi itu bertujuan bagi mengupas serta membahas aspirasi-aspirasi generasi muda Malaysia tentang masa depan negara.
Pada masa yang sama, Kumpulan Utusan turut muncul sebagai organisasi media pertama menyahut seruan TN50 dengan pelancaran Kelab TN50-Utusan (KTN50-Utusan) dalam memastikan pengamal media dapat menyumbang aspirasi ke arah pembentukan negara yang lebih mapan menuju tahun 2050. Pelancaran tersebut telah disempurnakan oleh Datuk Lokman Hakim Ali.
Selain itu, upacara menandatangani Perjanjian di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Majlis Belia Malaysia (MBM) turut diadakan bagi tujuan menganjurkan pelbagai hubungan kerjasama terutama dalam bidang penyelidikan dan program kepimpinan melibatkan belia di seluruh negara. UUM diwakili oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim, manakala MBM diwakili Presidennya, Mua’amar Ghadafi Jamal Jamaluddin.

Turut hadir ke acara, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, timbalannya, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UUM, Profesor Madya Dr. Abdul Malek Abdul Karim.









Bank Rakyat, Kumpulan Utusan raikan kanak-kanak Autisme

30 Mei 2017 (Khamis) - seramai 24 kanak-kanak autisme dari Pusat Permata Kurnia dan Pusat Jagaan Terapi Autistik Nouri diraikan dalam satu Majlis Berbuka Puasa anjuran Bank Rakyat dan Kumpulan Utusan di Dewan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad.
Majlis yang bermula pada pukul 6.00 petang itu dimulakan dengan bacaan al-Quran oleh Adik Zahiruddin yang merupakan salah seorang remaja autisme. Manakala, majlis penyampaian sumbangan kepada kanak-kanak tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Ketua Pegawai Modal Insan Bank Rakyat, Farid Shah Mohd Basir.

Selain itu, anak-anak autisme turut dihiburkan dengan persembahan nyanyian oleh maskot Didi & Friends. Majlis yang berakhir pada pukul 8.30 malam itu turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Ketua Pegawai Perbankan (Runcit) Bank Rakyat, Mohd. Shahril Isa serta pengurusan kanan Utusan Melayu dan Bank Rakyat.










YaPIEM dan Kumpulan Utusan edar 7,000 bekas bubur lambuk

29 Mei 2017 (Isnin) – Sempena kedatangan bulan Ramadan, Kumpulan Utusan sekali lagi menganjurkan Program Bubur Lambuk Ramadan dengan kerjasama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) di Masjid Jamek Kampung Baru.
Sebanyak 20 periuk bubur lambuk mula dimasak seawal pukul 8.00 pagi dan dibungkus oleh 40 petugas daripada Kumpulan Utusan dan juga YaPIEM. Kira-kira 7,000 bekas bubur lambuk berjaya disiapkan dan diedarkan kepada orang ramai selepas solat asar. Bubur-bubur berkenaan diedarkan oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah, Pengerusi Masjid Jamek Kampung Baru, Datuk Idris Shaari Mat Aris dan pengurusan kanan Kumpulan Utusan dan YaPIEM.

Kumpulan Utusan dan YaPIEM pada masa sama turut menyerahkan sumbangan masing-masing berjumlah RM1,000 kepada Masjid Jamek Kampung Baru.












Festival Hari Guru 2017 di Plaza Angsana Johor Bahru Mall, Johor

12 – 16 Mei 2017 (Jumaat – Selasa) - Dalam meraikan sambutan Hari Guru pada kali ini, Kumpulan Utusan menerusi Unit Pendidikan telah diberi kepercayaan sekali lagi oleh Kementerian Pendidikan Malaysia untuk menganjurkan Festival Hari Guru 2017 kali ke-9 yang telah disambut meriah di Plaza Angsana Johor Bahru Mall, Johor pada 12 Mei hingga 16 Mei lalu.
Dengan tema ‘Guru Pembina Negara Bangsa’, sambutan yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Malaysia, Dato’ Seri Mahdzir Khalid itu telah dihadiri lebih 2,000 pengunjung terutamanya guru-guru dan pelajar sekolah. Sepanjang tempoh festival berlangsung, pelbagai aktiviti pendidikan dianjurkan antaranya pameran pendidikan, studio penghias wajah, Klinik Jawi, Pencarian Gadis Panca, demonstrasi produk oleh pempamer.  Disamping itu, gerai Utusan juga turut menyelitkan beberapa aktiviti menarik khas buat pelajar dan pengunjung yang hadir antaranya jualan buku-buku dan majalah keluaran Utusan Karya Sdn. Bhd, Pertandingan Susun Puzzle, Roda Impian, Teka-Teki dan pelbagai lagi.

Selain pameran, festival lima hari itu turut diselitkan dengan acara hiburan seperti Konsert Mega Pancaindera, Khatam Al-Quran Perdana, Ceramah Agama oleh Datuk Mohd. Kazim Elias dan banyak lagi. Festival tersebut mendapat tajaan daripada YTL Corporation, selaku penaja utama manakala Adabi, FAMA, Proton, A&W, Julie's, MAMEE dan LeapEd selaku penaja bersama.













Mesyuarat Agung Tahunan ke-49

25 Mei 2017 (Khamis) -  Mesyuarat Agung Tahunan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kali ke-49 telah diadakan di Dewan Utusan yang telah dipengerusikan oleh Pengerusi Utusan Melayu (Malaysia) Berhad, Tan Sri Mohamad Fatmi Che Salleh dan dihadiri hampir 100 pemegang saham.
Mesyuarat yang bermula pada pukul 11.00 pagi itu dimulai dengan mengesahkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2016. Syarikat mencatatkan penurunan sebanyak 8.6 peratus kepada RM227.4 juta berbanding tahun sebelumnya di sebalik kejatuhan jualan akhbar sebanyak 3.4 peratus dan kejatuhan perolehan pengiklanan sebanyak 8.5 peratus. Penurunan pendapatan ini diimbangi oleh kos operasi yang lebih rendah iaitu 6.8 peratus berikutan beberapa langkah, antaranya rasionalisasi ke atas bilangan naskhah akhbar dan majalah yang dicetak memberi penjimatan sekitar RM15 juta dari segi kos jualan yang lebih rendah. Selain itu, kumpulan juga telah menutup loji percetakan di Johor pada akhir 2015 bagi membantu menangani kos pentadbiran yang tinggi. Bagaimanapun, kerugian kumpulan selepas cukai meningkat sebanyak RM47.5 juta daripada RM21 juta pada 2015 kepada RM68.5 juta pada tahun lalu.
Syarikat akan terus komited untuk meningkatkan pelaburannya bagi memperkukuhkan segmen digital dari semasa ke semasa dalam usaha mempelbagaikan pendapatan kumpulan terutamanya dalam menaikkan taraf infrastruktur dan kandungan media baharu supaya dapat menghasilkan produk yang lebih berkualiti. Selain itu, pelbagai langkah turut diambil antaranya menerusi konsesi pengiklanan oleh Mass Rapid Transit Corporation Sdn. Bhd. untuk Titanium Compass Sdn. Bhd., dengan kumpulan memiliki kepentingan sebanyak 20 peratus dapat mewujudkan peluang dari segi pendapatan iklan. Dalam masa sama, pembangunan tanah di Jalan Lima, Chan Sow Lin melalui usaha sama dengan pihak ketiga yang akan siap tahun ini, secara tidak langsung berupaya meningkatkan nilai aset syarikat.

Diharap Utusan Melayu kembali mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat berdasarkan beberapa langkah yang diambil dan akan terus komited untuk melakukan penambahbaikan dalam pelbagai invoasi media melibatkan akhbar Utusan Malaysia, Mingguan Malaysia, Kosmo!, Utusan Online serta strategi pemasaran.









Lawatan Penduduk Kampung Belukar Gelong Rambai ke Utusan Melayu


28 April 2017 (Jumaat) – Seramai 40 orang penduduk Kampung Belukar Rambai Kedah hadir mengadakan lawatan ke Utusan Melayu. Rombongan yang tiba pada pukul 3.00 petang itu disambut oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail dan dibawa ke Bilik Mesyuarat Jabatan Pengarang untuk sesi taklimat mengenai Utusan dan seterusnya dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia untuk melihat secara dekat operasi penerbitan berita. Selain itu, lawatan itu juga bertujuan mengeratkan hubungan silaturahim dengan kakitangan Utusan Melayu selain memahami lebih lanjut mengenai tugas dan cara kerja media terutamanya organisasi media cetak.







Termeterai Serahan di Sabak Bernam dan Kuala Selangor

Termeterai Serahan di Sabak Bernam dan Kuala SelangorLebih daripada 7,000 tablet Lenovo Tab3 7 Essential telah diserahkan kepada semua guru diseluruh Sabak Bernam dan Kuala Selangor dalam tempoh 5 hari sahaja.  Dengan kekuatan seramai 20 orang petugas dari seluruh jabatan di Utusan Melayu terlibat pada majlis kali ini.
Serahan sebanyak 7,000 unit bukanlah seperti menjual pisang goreng panas yang ada cheese, sebaliknya ianya ibarat dari mula cari benih pisang, tanam, baja dan akhirnya jadilah pisang goreng panas cheese yang laris.  Juntaian peluh yang mengalir bermula dari Sendayan lagi hinggalah sampai ke tangan guru, pelbagai rintangan harus dilalui oleh setiap petugas yang terlibat.
Alhamdulillah seolah satu keajaiban berlaku, setiap petugas seolah-olah diberikan suatu kekuatan dalam merintangi setiap permasalahan semasa penyerahan tablet dilakukan.  Perut dah berdangdut namun demi tugas yang diamanahkan semuanya dilupakan sahaja buat seketika. Cabaran melayani guru yang mempunyai pelbagai ragam juga secara tidak langsung dapat diatasi dengan baiknya tambahan pula pengalaman semasa penyerahan tablet di Sarawak dulu cukup mematangkan gaya setiap petugas dalam melayari kerenah dan kehendak guru. 
        Satu anugerah yang kita semua mungkin alpa seketika, Kekangan masa di pejabat menyebabkan jarang bertegur sapa di antara satu sama lain.  Namun di sinilah bermulanya penyatuan dan ikatan ukhwah terpatri.  Seolah-olah seperti hari raya gelak ketawa walaupun dalam kepenatan dari pagi hingga ke malam.  Yang tua dihormati yang muda dihargai.  Walaupun petugas dibayar elaun, namun bukanlah itu sebagai ukuran tetapi semangat inginkan Utusan Melayu terus selamat adalah menjadi tanggungjawab kita membalas jasa yang syarikat yang pernah berjasa pada kita selama ini.

Akhir kalam” tiada kejayaan semanis madu tanpa usaha sepahit hempedu”.











Serahan Tablet Terakhir di Hulu Selangor

Kuala Kubu Bharu ialah bandar di daerah Hulu Selangor, Selangor, Malaysia. Bandar ini terletak di atas puncak bukit dan meruapakan ibu daerah Hulu Selangor. Di kalangan penduduknya, Kuala Kubu Bharu juga dikenali dengan singkatan “KKB”.
Kuala Kubu Bharu yang pada mulanya dikenali sebagai Kuala Kubu diletakkan di dalam Pentadbiran Residen-Residen British yang pertama iaitu Presiden Frank Athelstane Swettenham, diikuti oleh J.P Rodger dan Edward Maxwell. Pada masa itu, Kuala Kubu menjadi pintu masuk ke Negeri Pahang. Oleh kerana banjir besar yang melanda, pihak British telah memindahkan pusat pentadbiran mereka ke Kuala Kubu Bharu pada 6 Mei 1931.

2 Mei 2017 – Selasa pagi En. Azan dari Utusan Land  membuat panggilan  telefon. “Man kau tolong pergi PPD Hulu Selangor hari ini bagi pihak aku, kerana ada perkara yang tidak dapat dielakkan”.  Kau jumpa dengan En. Helman dan berurusan dengan beliau untuk persiapan penyerahan tablet pada esoknya”. Bagi penulis ianya bukanlah satu masalah, kerana penulis sendiri memang bermastautin di kawasan Hulu Selangor.  Cuba beberapa amanat dari En. Azan yang perlu diteliti sebelum berjumpa dengan Pegawai dari PPD Hulu Selangor. Perjumpaan dengan Pegawai PPD yang bersifat terbuka telah mempermudahkan urusan persiapan susun atur tempat pengagihan tablet pada esok hari.  Walaupun kawasan yang diberikan agak terhad, namun susun atur yang dibekalkan oleh pihak Utusan dapat juga diselarikan dengan kawasan yang sedia ada.

3 Mei 2017 – Rabu yang dingin diselubungi persekitaran bukit-bukau yang berkabus mula diselang seli dengan wajah-wajah guru yang mula membanjiri kawasan serahan tablet di Pejabat Pendidikan Hulu Selangor.  Sejuta senyuman dilemparkan kepada petugas yang sentiasa menanti akan kedatangan guru dengan penuh harapan menanti buah tangan dari kerajaan untuk semua warga pendidik daerah Hulu Selangor.  Hampir 70 buah sekolah yang terlibat yang melibatkan lebih dari tiga ribu guru mendapat tablet Lenovo 3. Kebetulan pada hari Rabu ramai guru yang memakai pakaian berunifom seolah-olah kita semua berada di ambang menyambut Hari Kemerdekaan Negara. Keriangan terpancar pada setiap guru semasa serahan tablet diberikan pada wakil setiap guru malahan bukan itu sahaja, simpack Celcom juga berikan sama.

4 Mei 2017 – Khamis yang penuh dengan corak abstrak. Batik menguasai perkarangan Pejabat Pendidikan Hulu Selangor. Penulis mampu senyum melihat pesta batik seolah-olah sedang berlangsung.  Yang menariknya semua guru tanpa mengira bangsa berbangga dengan memakai baju batik dengan pelbagai corak. Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Batang Kali membuka tirai serahan tablet sebanyak 95 unit, sekolah yang paling jauh sekali ialah Sekolah Kebangsaan Soearto  yang mewakili seramai 35 orang guru.  Sekolah yang agak pendalaman di daerah Hulu Selangor. Sekolah yang akhir sekali menerima tablet adalah Sekolah Kebangsaan Sungai Buaya, yang diwakili oleh empat guru wanita.

Jam 6.45 petang, En. Azan mencuri sedikit masa untuk mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua petugas yang terlibat, beliau menghargai akan rintangan dan cabaran yang terpaksa dihadapi juga dengan kepenatan petugas yang bertugas sebelum ini di Pejabat Pendidikan yang lain dan terus bertugas di Pejabat Pendidikan Hulu Selangor.  Inilah cabaran solididariti yang harus dibayar demi untuk melihat Utusan terus berdiri di persada.  “Ringan sama dijinjing berat sama dipikul “ benarlah perumpamaan ini walaupun telah dimamah usia namun ianya tetap relevan di abad ke 21. Sampai jumpa.












Mingguan Malaysia Akhbar Nombor Satu Negara

Akhbar mingguan terbitan Kumpulan Utusan, Mingguan Malaysia kekal menjadi akhbar mingguan berbahasa Melayu No. 1 dengan edaran sebanyak 282,962 naskhah pada tahun lalu. Menurut laporan terkini dari Jun hingga Disember 2016 dikeluarkan firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC), jumlah tersebut meninggalkan jauh pesaing Mingguan Malaysia, iaitu BH Ahad yang mencatatkan sekadar 90,809 naskhah manakala Metro Ahad pula 154,548 naskhah. Manakala, Kosmo! Ahad yang merupakan akhbar terbitan Kumpulan Utusan turut mencatatkan jumlah edaran membanggakan dengan 182,597 naskhah.
ABC turut melaporkan bahawa Utusan Malaysia mencatatkan edaran harian bersih kira-kira 123,575 naskhah manakala Berita Harian 91,229 naskhah. Selain itu, ABC turut mengesahkan Utusan Malaysia merupakan akhbar elektronik atau e-paper berbahasa Melayu terlaris dengan jumlah peningkatan luar biasa pada 2016. Utusan Malaysia versi digital mencatatkan sebanyak 71,755 langganan untuk tempoh Jun sehingga Disember tahun lalu. Angka pada tahun ini mengatasi hanya 7,017 langganan dari tempoh Januari hingga Jun tahun lalu dan mencatatkan peningkatan hampir 10 kali ganda bagi separuh masa kedua 2016.

Diharap kedudukan ini dapat dikekalkan pada perangkaan ABC yang akan datang.



Konsert Munajat Untuk Rohingya

30 April 2017 (Ahad) - Lebih 300 orang hadir ke Konsert Munajat Untuk Rohingya: Sepasang Tangan Berdoa anjuran bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Utusan Melayu (M) Berhad telah diadakan di Lambang Sari, Istana Budaya bertujuan untuk mengumpul dana bagi membantu etnik Rohingya yang tertindas di tanah air mereka. Konsert yang bermula pada pukul 8.00 malam itu turut mendapat sokongan Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), Istana Budaya dan Persatuan Penulis Nasional (Pena).Semua hasil kutipan tiket berharga RM20 dan RM10 konsert tersebut akan diserahkan kepada Utusan Melayu untuk mengisi Tabung Rohingya Utusan-Tabung Haji bagi disalurkan kepada etnik minoriti Rohingya bertujuan mengurangkan penderitaan dan kesengsaraan akibat ditekan oleh kerajaan Myanmar.
Konsert tersebut turut dijayakan oleh artis-arti jemputan dan penyair-penyair terkenal seperti Nash, Dr. Lim Swee Tin, Khalid Salleh, Adiwangsa Sukma, Saidin Omar, Roslee Mansor, Nadia Fauzi, Shukri Abdullah, Dr. Shamsudin Othman, Datuk Ibrahim Ghafar dan Zaen Kasturi. Selain itu Sani Sudin, Shahrin, Arjunasukma, Juhairee COV, Aya Rohaya, Melor Shamsazila, Izmer Khasbullah, Faiz Aziz, Khairil Kamarudin, Shukri Sahari, Syamil serta Intracksee & USIM Buskers turut sama memeriahkan konsert berkenaan.
Program diisi dengan bacaan dan nyanyian puisi, monolog kemanusiaan, nasyid dan puisi berkonsepkan kerohanian dan santai sebagai menyampaikan rasa sedih dan keprihatinan terhadap masyarakat Rohingya.

Lebih menarik, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar & Alumni) USIM, Profesor Datuk Dr. Hassan Basri Awang Mat Dahan; Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarah Urusan Institut ITBM, Mohd. Khair Ngadiron secara bersama mendeklamasi puisi bertajuk Sepasang Tangan Rohingya.











Penjurian Akhir Peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Menarik Perak – Kosmo 2017

Peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Menarik Perak 2017 anjuran bersama kerajaan negeri Perak dan akhbar Kosmo! telah mendapat sambutan menggalakkan dari pembaca setia Kosmo! apabila sebanyak 200,000 penyertaan diterima. Penjurian akhir telah diadakan di pejabat Kosmo! baru-baru ini.

        Seramai 848 pemenang dipilih untuk peraduan Destinasi Menarik Perak, manakala 243 pemenang untuk Pertandingan Fotografi Menarik Perak 2017 yang telah dinilai oleh beberapa orang juri, jurufoto yang berpengalaman dan wakil daripada Tourism Perak. Penyertaan dinilai berdasarkan kreativiti masing-masing termasuk menepati syarat wajib iaitu jawapan yang betul dan tepat, nama yang betul serta slogan yang menarik.













Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan #Umenangsakan

1 Jun 2017 (Khamis) – Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan #UMenangsakan telah diadakan di Bilik Solidariti Utusan Melayu yang telah disampaikan oleh Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Besar Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Azlan Naim Abdullah.
Dalam majlis penyampaian tersebut, mahasiswa dari Universiti Kuala Lumpur (UniKL) dan sembilan lagi pembaca Utusan Malaysia diumumkan sebagai pemenang peraduan bagi Edisi 1 Siri B yang membawa pulang RM1,000 setiap seorang. Turut diumumkan 10 lagi pemenang yang memenangi wang tunai RM500 setiap seorang.

Peraduan yang bermula pada 1 Februari lalu itu terbahagi kepada dua kategori iaitu peraduan bulanan dan peraduan bonanza yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM555,000 termasuk tiga buah kereta. Manakala, peraduan bulanan menawarkan hadiah wang tunai RM1,000 bagi tempat pertama hingga ke-10 manakala RM500 bagi pemenang tempat ke-11 hingga ke-20 selain kemeja-T bagi 100 pemenang saguhati.








Disediakan oleh: 







Muhammad Syakkur Mamat (Syak)
Jabatan Komunikasi Korporat
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Tel         : 603-92324435
Faks       : 603-92210594
H/P        : 013-3986300
E-mel     : syakkur.mamat@utusan.com.my



No comments:

Post a Comment