Sunday 4 September 2016

Tinta Online Volume 15/2016 - 30 Ogos 2016


Pelancaran Wajah Baharu MEGA dan Halaman Wilayah


15 Ogos 2016 (Isnin) – Akhbar Utusan Malaysia kini tampil lebih dinamik, bermaklumat dan padat dengan pelbagai pengisian apabila sisipan Mega kini berwajah baharu yang dilancarkan pada hari Isnin lalu di Dewan Besar Utusan Melayu. Transformasi ini melibatkan perubahan saiz daripada kompak kepada broadsheet.
            Pembaharuan ini menampilkan beberapa segmen yang akan dijadikan muka depan ruangan Mega mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu Mega Rona pada setiap Isnin, Mega Hits pada Selasa, diikuti Mega Sains dan Teknologi pada Rabu, kemudian pada Khamis pula Mega Wira dan Mega Mimbar pada Jumaat. Sisipan ini akan menjadi seksyen utama bagi Seksyen 2 akhbar Utusan Malaysia.
            Manakala, Halaman Wilayah merangkumi berita-berita masyarakat menerusi Halaman Utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang), Halaman Timur (Kelantan, Terengganu dan Pahang) dan Halaman Utusan Sentral (Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, Negeri Sembilan dan Melaka). Dengan adanya pembaharuan sisipan ini pembaca terutamanya golongan muda boleh memperoleh pelbagai informasi terkini melalui pembacaannya.

Upacara pelancaran telah disempurnakan oleh selebriti dan ikon-ikon terkenal tanah air yang mewakili setiap seksyen. Pelancaran turut diserikan dengan kehadiran Pengarah Urusan Kumpulan, Utusan Melayu, Datuk Mohd Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Melayu, Datuk Othman Mohamed, Editor-editor Kanan Utusan Malaysia, para pengiklan dan selebriti terkenal tanah air.

Datuk Mohd Noordin Abbas menyampaikan cenderamata kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Seri Muhammad Sabtu Osman sambil diperhatikan oleh Datuk Abdul Aziz Ishak..

Tetamu, ketua meja serta ikon halaman bergambar bersama sisipan Mega yang baharu selepas menyempurnakan gimik pelancaran. 

Antara tetamu yang hadir memeriahkan majlis. 

Penyanyi Aiman Tino, menghiburkan tetamu dengan lagu Ku Rela Dibenci.

Mini Studio Foto turut disediakan semasa majlis pelancaran Wajah Baharu Mega. 

Kalau tak selfie tak sah.. Artis Nina Baharun sempat selfie bersama Sufian Suhaimi.  

Datuk Mohd Noordin Abbas (depan kiri) dan Datuk Abdul Azizi Ishak (depan tiga dari kiri) bersama tetamu dan ikon menyempurnakan upacara memotong kek.  

Pengarang Kanan Mega, Gamal Nasir Mohd Ali, mengadakan perbincangan bersama pengarang setiap halaman mengenai Pelancaran Wajah Baharu Mega. 


Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC- Utusan 2016

13 Ogos 2016 (Sabtu) – Majlis Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan 2016 berlangsung dengan jayanya pada hari sabtu lalu bertempat di Ruang Legar Utama, Pusat Membeli Belah Quill City Mall, Kuala Lumpur.
            Pelbagai aktiviti dijalankan untuk memeriahkan sambutan ini antaranya Pertandingan Mewarna, Cabutan Bonanza Benelli Malaysia, Cabutan Bertuah, Studio Mini dan turut diserikan dengan persembahan artis tanah air iaitu Sufian Suhaimi, Sandra dan Ayai Ilusi.            
           Majlis yang berlangsung meriah ini disempurnakan oleh YBhg. Datuk Seri Hj. Mohd. Amin Nordin bin Abd. Aziz, Datuk Bandar Kuala Lumpur. Kejohanan ini turut mendapat pengiktirafan dan sokongan daripada Kementerian Pelajaran Malaysia, Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang bertindak sebagai penyiar rasmi kejohanan.
            Kejohanan Sepak Takraw diteruskan atas sambutan menggalakkan dari peminat sukan seluruh negara sejak pelancaran kejohanan tersebut pada tahun 2014. Dalam edisi kali ini, perlawanan peringkat awal akan diadakan di Kompleks Sukan Negeri Paroi, Negeri Sembilan pada 29 September hingga 1 Oktober sebelum saingan akhir pada 2 Oktober 2016.            


Orang ramai mula memenuhi Ruang Legar Utama, Pusat Membeli Belah Quill City Mall sempena Pelancaran Kejohanan Sepak Takraw KFC-Utusan. 

Datuk Mohd Noordin Abbas (tiga dari kiri) dan Datuk Abdul Aziz Ishak (tengah) bergambar bersama penaja Kejohanan Sepak Takraw Sepak Takraw KFC-Utusan. 

Pelbagai aktiviti diadakan antaranya promosi jualan majalah-majalah keluaran Utusan Karya Sdn Bhd yang memberikan diskaun hebat buat pengunjung yang hadir.

Sekumpulan remaja membaca akhbar Utusan Malaysia Sabtu bagi mengetahui isu semasa dalam negara, 

Seorang pengunjung melihat motorsikal yang akan dimenangi melalui Cabutan Bonanza Benelli Malaysia.

MENCUBA NASIB.. pengunjung tidak melepaskan peluang untuk menyertai peraduan cabutan bonanza. 

Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kanan) dan Datuk Seri Hj Mohd Amin Abd Aziz bergambar bersama di Studio Mini Foto Utusan. 

LIBASAN KENCANG.. salah seorang pengunjung cilik menunjukkan aksinya melakukan libasan. 

AirAsia Lawat Utusan Melayu

16 Ogos 2016 (Selasa) – Syarikat penerbangan tambang murah, AirAsia Bhd. (AirAsia) telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan baru-baru ini. Lawatan yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Aireen Omar disambut oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail. Pertemuan itu diadakan bagi membincangkan hubungan kerjasama antara kedua-dua pihak selain merapatkan lagi hubungan. Rombongan kemudiannya dibawa melawat ke sekitar Pejabat Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! sebelum bersurai. Turut hadir sama Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. Ganesh Arumugam; Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamel Ahmed; Pengarah Eksekutif Utusan Media Sales Sdn Bhd. (UMES), Mohd  Yazid Ahmad dan Pengarang Ekonomi Utusan Malaysia, Johardy Ibrahim. 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia, Aireen Omar mengadakan perbincangan tertutup bersama Datuk Mohd Noordin Abbas dan Datuk Dr. A Ganesh di Pejabat Pengarah Urusan Kumpulan .

Aireen Omar (kiri) menyampaikan cenderahati rplika pesawat AirAsia kepada Datuk Mohd Noordin Abbas (kanan).

Penolong Pengarang 2, Kosmo!, Lokman Othman menerangkan kepada rombongan AirAsia tentang proses penerbitan akhbar ketika mengadakan lawatan ke pejabat pengarang Kosmo!.

Rombongan AirAsia bergambar bersama Penolong Pengarang 2, Kosmo!, Lokman Othman dan kakitangan Kosmo!. 

Utusan raih Anugerah Khas Media Cetak

20 Ogos 2016 (Sabtu) - Kumpulan Utusan meneruskan kecemerlangan sebagai media cetak terkemuka negara apabila dipilih sebagai penerima Anugerah Khas Media Cetak sempena Anugerah Keusahawanan Muda India Perdana 2016.
Trofi dan sijil disampaikan oleh Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan kepada Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dalam satu majlis yang diadakan di Hotel Istana.
Usaha Kumpulan Utusan yang memberi perhatian serta mengambil berat tentang sosio-ekonomi dan aktiviti semua lapisan masyarakat berbilang bangsa menyumbang kepada pengiktifaran ini sekaligus mengangkat dan memperkukuhkan lagi nama Utusan Melayu. Semoga Kumpulan Utusan akan terus maju dan cemerlang di masa akan datang.


Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) menerima trofi dan sijil daripada Datuk Seri Ong Ka Chuan.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kanan) bergambar bersama penerima-penerima anugerah semasa majlis penyampaian Anugerah Keusahawanan Muda India Perdana 2016.

Datuk Mohd Noordin Abbas (tiga dari kanan) bergambar bersama Pengurusan Kanan Utusan Melayu.

AffinBank Taja 33,000 Naskhah Akhbar Tutor

24 Ogos 2016 (Rabu) – Kumpulan AffinBank sekali lagi meneruskan tajaan akhbar pendidikan Utusan Malaysia, Tutor ke tujuh buah sekolah rendah dan empat buah sekolah menengah. Majlis penyerahan tajaan tersebut telah diadakan di Ibu Pejabat Utusan Melayu baru-baru ini.
Kali ini, sebanyak 33,000 naskhah yang berjumlah RM20,000 ditaja bagi membantu memantapkan kecemerlangan akademik 11 sekolah tersebut untuk digunakan sebagai bahan bantuan pembelajaran tambahan. Majlis penyerahan tajaan disempurnakan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah dan Timbalan Ketua Pengarang, Datuk Othman Mohamad yang mewakili Kumpulan Utusan. Turut hadir sama, Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah; Pengurus Besar Pemasaran dan Pengedaran, Rosman Zulkifli dan Pengarang Unit Pendidikan, Wahid Hashim; Ketua Komunikasi Korporat Affin Islamic, Raja Emylia Raja Lope Ahmad serta Ketua Komunikasi Pemasaran dan Promosi, Norazlinda Mohd. Fadzil.

Datuk Othman Mohamad (empat dari kiri) menerima replika cek tajaan berjumlah RM20,000 daripada Nazlee Khalifah (empat dari kanan).

Pengurus & Pengarang Unit Pendidikan, Wahid Hashim menerangkan sesuatu mengenai sisipan Tutor kepada Ketua Pegawai Eksekutif Affin Islamic, Nazlee Khalifah (kanan).


Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara (MPN) Bersama Utusan Malaysia Dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM)

24 Ogos 2016 (Rabu) - Program Advokasi Ilmuwan Majlis Profesor Negara anjuran bersama akhbar Utusan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM) telah diadakan bertempat di Dewan Sultan Iskandar Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Program yang bermula pada pukul 10.00 pagi itu dikendalikan oleh Pengarah Kampus UTM Kuala Lumpur, Dr. Durrishah Idrus dengan menampilkan tiga ahli panel iaitu Setiausaha Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa MPN, Prof. Datuk Dr. Abdul Halim Sidek, Pengarah Penyelidikan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), Dr. Suraya Ismail serta Timbalan Dekan Penyelidikan dan Inovasi, Fakulti Geoinformasi dan Harta Tanah UTM, Prof. Madya Dr. Hishamuddin Ali bagi membincangkan tajuk Perumahan di Malaysia: Mampu Milik atau Mampu Tengok?.
Antara cadangan bagi meredakan dan menurunkan harga rumah adalah keperluan menubuhkan sebuah badan khas untuk mengawal kenaikan harga hartanah oleh pihak kerajaan. Program berkonsepkan dialog yang mengetengahkan ilmuan dari Majlis Profesor Negara ini diharap dapat membuka minda segenap lapisan masyarakat mengenai pentingnya peranan MPN dalam menyampaikan maklumat serta idea bernas sekaligus membuka minda mengenai sesuatu isu yang dibincangkan.

Dr. Suraya Ismail (dua dari kiri) menjawab pertanyaan daripada moderator, Dr. Durrushah Idrus (kiri) mengenai tajuk yang dibincangkan. 

Kakitangan dan pelajar UTM memenuhi dewan sebelum majlis bermula. 

Pengurusan Kanan Utusan Melayu dan UTM bergambar bersama panelis seusai majlis berlangsung. 


Promosi Proton di Utusan Melayu

25 Ogos 2016 (Khamis) – Syarikat pengeluar kereta tempatan, Proton Holdings Berhad telah mengadakan promosi dan tawaran istimewa kereta keluaran terbaru iaitu Proton Persona kepada kakitangan Kumpulan Utusan pada hari Khamis lalu. Promosi yang berlangsung selama 45 minit itu turut menyediakan sesi pandu uji kenderaan tersebut. Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan Ketua Pengarang Kumpulan turut hadir dan beramah mesra dengan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar Sdn Bhd. Rohime Shafie dan beberapa kakitangan Proton yang hadir.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) dan Rohime Shafie (kanan) menunjukkan isyarat bagus ketika melakukan sesi pandu uji kereta keluaran terbaru Proton iaitu Proton Persona.

Kakitangan Kumpulan Utusan tidak melepaskan peluang untuk melihat serta melakukan pandu uji kereta Persona. 

Penolong Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Hassan Mohd Noor turut mencuba kereta Persona ketika sesi pandu uji dilakukan.

Kakitangan mula berkumpul seawal pukul 2.30 petang bagi menanti ketibaan kenderaan Proton di ruang legar Blok B Utusan Melayu.

Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kiri) menerima cenderahati daripada Rohime Shafie (dua dari kanan) ketika melakukan lawatan dan promosi kenderaan Proton. 

Sesi Penjurian Peraduan Superbest Power-Kosmo!.

8 Ogos 2016 (Isnin) – Peraduan Superbest Power-Kosmo! terus mendapat sambutan yang menggalakkan dari pembaca Kosmo! terutamanya golongan muda apabila sebanyak 92,000 penyertaan diterima berbanding 60,000 dalam peraduan dua tahun lalu. Peraduan yang berlangsung pada 7 Mac hingga 17 Mei lalu dianjurkan bagi memeriahkan kejohanan Superbest Piala FA 2016 dan Superbest Power merupakan penaja utama kejohanan tersebut.
Manakala, sesi penjurian peringkat saringan bagi mencari 25 peserta terbaik telah dijalankan pada 8 Ogos lalu yang diadili oleh dua juri utama iaitu Penolong Pengarang 1, Kosmo!, Mohd Nor Ab Samad dan Eksekutif Tugas-tugas Khas Superbest Power Health Food and Beverages Sdn. Bhd., Ismail Mohd Nor. Sebanyak 25 penyertaan terbaik telah dipilih dan akan dinilai dalam sesi penjurian peringkat akhir yang akan dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Superbest Power, Kamal Mohd Nor dan Pengarang Kosmo! Datuk Baharom Mahusin.
Sebanyak lapan set iklan peraduan disiarkan sepanjang peraduan berlangsung. Peserta hanya perlu meneka empat gambar jersi daripada 32 pasukan bola sepak yang bertanding dalam Superbest Power Piala FA 2016. Selain itu, peserta juga perlu mencipta ayat sorakan kreatif untuk pasukan pilihan masing-masing. Peraduan ini menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM150,000.

Ismail Mohd Nor (tiga dari kanan) bersama Mohd Nor Ab Samad (tiga dari kiri) menunjukkan beberapa penyertaan kreatif yang diterima ketika sesi penjurian peringkat saringan berlangsung.

Mohd Nor Ab Samad dan Ismail Mohd Nor meneliti penyertaan yang diterima di Pejabat Pengarang Kosmo!. 

Seorang kakitangan Kosmo! menunjukkan sebahagian penyertaan kreatif dari peserta peraduan.

Pelbagai penyertaan kreatif diterima antaranya menara KLCC dan Stadium. 

Kakitangan Kosmo! memegang salah satu penyertaan yang kreatif.

Replika Piala FA turut dijadikan sebagai penyertaan kreatif.


Replika padang bola sepak. 

Antara penyertaan kreatif yang diterima. 

Disediakan oleh: 







Muhammad Syakkur Mamat (Syak)
Jabatan Komunikasi Korporat
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Tel         : 603-92324435
Faks       : 603-92210594
H/P        : 013-3986300
E-mel     : syakkur.mamat@utusan.com.my



No comments:

Post a Comment