Tuesday 20 September 2016

Tinta Online Volume 16/2016 - 8 September 2016



Majlis Sentuhan Kasih Semarak Merdeka Rai Warga Emas

31 Ogos 2016 (Rabu) - Sempena sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59, Yayasan Kumpulan Utusan menganjurkan Majlis Sentuhan Kasih Semarak Merdeka demi menghargai jasa dan pengorbanan warga emas.
Majlis yang dianjurkan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) itu juga merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) Utusan Melayu. Majlis yang berlangsung dalam suasana meriah dan penuh kekeluargaan itu bermula pada pukul 2.30 sehingga 5 petang dihadiri lebih 300 warga emas dari kawasan Cheras Baru, Kampung Batu, Seputeh, Puchong, Bandar Kinrara, Subang dan Serdang serta ibu bapa kakitangan syarikat.
Beberapa kakitangan syarikat turut mengenakan pakaian pasukan keselamatan pada zaman era menuntut kemerdekaan sepanjang majlis itu berlangsung bagi menyambut dan melayan tetamu istimewa tersebut. Majlis yang dihoskan oleh juruhebah radio terkenal, DJ Lin itu diserikan dengan persembahan nyanyian daripada Raja Gelek, Datuk M. Daud Kilau dan persembahan kumpulan Panca Delima dan Ala Kadar. Pengacara popular, Datuk Aznil Nawawi turut menghiburkan tetamu dengan nyanyian lagu Allahyarham Sudirman Arshad berjudul Ayah dan Ibu.
Program itu turut mendapat tajaan daripada Jakel Trading Sdn. Bhd; Ariani Textiles Manufactu­ring (M) Sdn. Bhd; Institut Jantung Negara (IJN); Free For All; Bank Islam Berhad (BIMB); Alfio Raldo; Adabi Consumer; Osra Boutique; Pusat Pungutan Zakat (PPZ); Perbadanan Nasional Berhad (PNB); Am Meditech (M) Sdn. Bhd. dan Safety Driving Centre.
Turut hadir ke majlis, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh; Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail; Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah dan ahli-ahli Kelab Veteran Utusan Malaysia (KVUM).
Sebelum ini, Yayasan Kumpulan Utusan pernah meraikan mangsa bencana banjir di Kampung Manek Urai, Kelantan dan program Anyaman Kasih bersama Orang Asli Taman Desa Kemandol, Kuala Langat, Selangor.


Datuk Mohd Noordin Abbas (duduk tengah) bergambar kenangan bersama tetamu yang hadir pada majlis Sentuhan Kasih Semarak Merdeka. 


Beberapa wara emas bersama-sama Raja Gelek, Dato' M Daud Kilau mendendangkan beberapa buah lagu.

Seorang warga emas tidak dapat menahan sebak tatkala bertemu Datuk Aznil Hj Nawawi.

Sebahagian warga emas khusyuk mendengar ucapan yang disampaikan oleh Datuk Mohd Noordin Abbas. 

Warga emas dari Rumah Victory Elderly Home Puchong bersemangat mengibarkan jalur gemilang ketika menyanyikan lagu patriotik.

Bersemangat.. warga emas menyanyikan lagu patriotik semasa majlis berlangsung.

Kakitangan Utusan Melayu tidak menang tangan menyediakan makanan buat warga emas.

Rusilah Atan (depan kiri) menyuapkan kek ke mulut suaminya, Namat Said sempena ulang tahun perkahwinan mereka ke-53.

Kakitangan Utusan Melayu segak mengenakan pakaian pasukan keselamatan zaman era kemerdekaan.

Ketibaan warga emas disambut oleh beberapa kakitangan Utusan Melayu.

Sebahagian warga emas bergambar di Mini Studio Foto yang disediakan sebagai tanda kenangan. 

Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kanan) dan Ainol Amriz Ismail (kanan) menyampaikan cenderahati kepada warga emas yang hadir. 

Ceria.. jelas terpancar wajah kegembiraan warga emas ketika bergambar bersama. 

Datuk Mohd Noordin Abbas beramah mesra bersama warga emas ketika menikmati jamuan.

Datuk Noordin Abbas dan Datuk Abdul Aziz Ishak bersama sebahagian warga emas menyempurnakan upacara memotong kek. 

Utusan Sertai Perbarisan Kemerdekaan

Oleh MOHD AMIL ABDULLAH SAIBY

Pada tahun 2016, di tempat yang sama, masa yang sama sekali lagi Dataran Merdeka menjadi saksi kepada Kumpulan Utusan apabila menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan ke-59 di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Detik bersejarah ini mengingatkan penulis pada tahun 1994 dimana kontinjen Utusan Melayu buat pertama kalinya diberi peluang menyertai perbarisan Hari Kemerdekaan ke-37 dengan tema Nilai Murni Jayakan Wawasan.
Lebih dua dekad telah berlalu,sejarah lama kembali lagi dengan penyertaan seramai enam belas orang kakitangan Utusan yang terdiri daripada pelbagai jabatan seperti Jabatan Pengarang,Pentadbiran,Pemasaran dan Komunikasi Korporat.
Bagi merealisasikan semangat patriotik dan kemerdekaan, para peserta dikehendaki menjalani latihan kawad perbarisan pada setiap minggu hari Rabu dan Khamis sepanjang bulan Ogos. Ia adalah bertujuan untuk memberi latihan stamina fizikal kepada para peserta di samping membentuk disiplin sepanjang tempoh latihan.
Justeru itu, para peserta diberi tunjuk ajar berkawad dengan betul oleh jurulatih-jurulatih kawad daripada bekas tentera darat yang berpengalaman. 31 Ogos 2016 yang dinanti-nantikan telah tiba apabila keseluruhan 26 kontijen seramai 14,491 orang peserta yang terdiri daripada pelbagai sektor sama ada kerajaan dan swasta turut bersama-sama  berganding bahu menjayakan sambutan Hari Kemerdekaan Ke-59 dengan tema Sehati dan Sejiwa.
Perarakan kontinjen bermula dari Kompleks Pusat Daya Bumi menuju ke Dataran Merdeka dan seterusnya menghala ke Jalan Raja Laut dan berakhir di Kompleks Pertama Kuala Lumpur.
Kumpulan Utusan dengan langkah segak bergaya membawa imej korporat iaitu berbaju kemeja tanpa kolar berwarna putih dan biru bersulamkan logo Utusan, memakai seluar slack hitam, bertopi biru, berselempang,stokin tangan hitam tertera perkataan Utusan dan sarung tangan putih.
Setibanya kontinjen di depan pentas utama, jalur gemilang dikibarkan beberapa kali sebagai tanda penghormatan kepada Yang diPertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mua’adzam Shah dan Raja Permaisuri Agong,Tuanku Hajah Haminah.Turut serta Perdana Menteri, Mohd Najib Tun Razak dan isteri Rosmah Mansor serta barisan Menteri-menteri Kabinet.

Merdeka!Merdeka!Merdeka!


DUA GENERASI BERBEZA.. Gambar kontinjen Utusan Melayu ketika menyertai Perbarisan Perarakan Merdeka pada tahun 1994 (atas) dan tahun ini (bawah)

Bergambar seusai latihan kawad diadakan di Padang Kawad TNB.

Latihan Kawad diadakan pada setiap hari Rabu dan Khamis setiap minggu sebelum 31 ogos 2016.

Pantang nampak kamera.. semua ceria bila posing..

Kontinjen Utusan dan agensi luar sama-sama mengadakan latihan bagi membentuk disiplin.

Sebelum raptai, kita makan dulu..

Suatu ketika dahulu.. Kontinjen Utusan Melayu mengadakan latihan kawad perarakan sempena hari kemerdekaan ke-37.

Gambar kenangan yang tidak akan luput ditelan zaman. 

Kontinjen Utusan Melayu bergambar bersama jurulatih kawad (tengah) seusai acara raptai perarakan Merdeka.

Kontinjen Utusan Melayu dan Malaysia Airlines Berhad (MAB) bergambar bersama sebelum perarakan bermula.

Bergambar kenangan bersama jurulatih dan agensi kerajaan yang lain. 





Yayasan Kumpulan Utusan-SDC Tingkat Pemanduan Berhemah

1 September 2016 (Khamis) – Buat julung kalinya, Yayasan Kumpulan Utusan dan Safety Driving Centre (SDC) bekerjasama dalam menghebahkan maklumat mengenai kesedaran keselamatan jalan raya. Kerjasama ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan sikap pengguna jalan raya untuk terus berhemah ketika memandu atau menunggang kenderaan berikutan kadar kemalangan jalan raya dan kematian semakin meningkat.
Majlis Pelancaran Penganugerahan Sijil Pelantikan Duta Keselamatan Jalan Raya SDC 2016 telah diadakan di Kuala Lumpur dan dirasmikan oleh Ketua Pengarah JKJR, Datuk Ariffin Che Mat. Turut hadir ke majlis, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengarah Eksekutif Yayasan Kumpulan Utusan, Datuk Dr. A. Ganesh.
Dalam majlis tersebut, seramai 30 pelanggan SDC dan peserta yang mengikuti Kursus Pemanduan Berhemah baru-baru ini dianugerahkan sijil sebagai duta untuk menjadi pelatih dalam meningkatkan kesedaran keselamatan jalan raya kepada masyarakat.
Selain itu, Datuk Mohd Noordin Abbas yang juga Pengerusi Yayasan Kumpulan Utusan turut menyampaikan sijil kepada 13 kakitangan SDC sebagai tanda penghargaan khas. Safety Driving Centre (SDC) dan Yayasan Kumpulan Utusan akan mencuba pelbagai aspek untuk mengembalikan semula kesedaran keselamatan kepada pengguna tentang pentingnya mengubah sikap ketika memandu sekaligus dapat mengurangkan kadar kemalangan.


Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kanan) dan Datuk Ariffin Che Mat (tiga dari kiri) beramah mesra dengan peserta orang kurang upaya, Tunku Mohamed Jayadi Tunku Mokhtar dalam majlis Pelancaran Penganugerahan Sijil Pelantikan Duta Keselamatan Jalan Raya SDC 2016 di Kuala Lumpur. 

Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kiri) dan Datuk Ariffin Che Mat (tiga dari kiri) menyampaikan sijil kepada kakitangan SDC.

Datuk Mohd Noordin Abbas bersama Datuk Ariffin Che Mat dan penerima-penerima sijil bergambar kenangan seusai majlis berlangsung.

Pengalaman di Bintulu.. Satu Kenangan Berharga

Oleh AZMAN KAMARUDDIN

“Azman, hang ganti Fahmi gi Bintulu”!.. Oh!.. sentap kejap jantungku.. Azwa memberi arahan supaya penulis menggantikan tempat Fahmi yang berhalangan di atas sebab kesihatan isteri beliau. Isteri penulis masa waktu berada di Penang atas urusan rasmi.
7 Ogos 2016, pagi ahad pukul 6.30 pagi penerbangan Air Asia ke Bintulu mengambil masa lebih kurang 2 jam 10 minit.  Pertama kali menjejakkan kaki di Bintulu penuh dengan kerisauan akan amanah yang dipertanggungjawabkan. Sudahlah bidang terjun dan menjadi kumpulan yang pertama untuk penyerahan tablet pada semua warga pendidik di seluruh Bintulu.  Walaupun beberapa sesi latihan dan taklimat dijalankan namun perasaan gusar masih wujud terutama untuk berdepan dengan guru-guru di luar semenanjung.
Kemudi dalam projek ini diketuai oleh Nur Azan Hassan dari Utusan Land Sdn Bhd. dan dibantu oleh petugas yang cukup berdedikasi iaitu Nur Izzuan Shahidan dan Nazeri Che Om dari Jabatan Pemasaran, Arif Zainal dari Jabatan Kewangan, Norhafizah Wahono dari Audit, Ain Syuhada dari Jabatan Undang-undang, Ahmad Rizal Bin Muhammad dari Jabatan Teknologi Maklumat serta Penulis.  Seawal pukul 12.00 tengah hari semua krew telah berkampung di Pusat Kegiatan Guru (PKG) Bintulu.  Selaku Ketua Kumpulan, Nur Azan memberikan taklimat dan mengagihkan jadual kerja mengikut keperluan dan kesesuaian dalam proses penyerahan tablet itu nanti juga melibatkan agensi dari Secure Force yang dilantik dalam bertanggungjawab akan keselamatan tablet sepanjang penyerahan dilakukan.
Pada pukul 6.30 pagi penulis menerima whatsapp “Tayar Golek!.." dari Nur Azan memaklumkan bahawa masa begitu berharga. Seawal pukul 7.30 pagi semua petugas telah siap siaga menerima kunjungan warga pendidik dari seluruh Bintulu.  Gemuruh jiwa semangat membara dalam merealisasikan impian kerajaan melihat perkembangan pendidikan di Malaysia selari dengan negara maju di dunia.  Perancangan yang rapi dan semangat yang dijalinkan di antara warga Utusan, warga Secure Force dan warga pendidik menjadikan penyerahan tablet berjalan dengan teratur dan penuh dengan jalinan mesra di antara semua yang terlibat. Hampir seminggu berkampung di Bintulu, pengalaman banyak dikongsikan dengan warga pendidik dalam menangani arus pendidikan yang pantas bergerak mengikut peredaran masa.  Akrab hubungan yang terjalin melahirkan keharmonian menjadikan hubungan yang terindah walaupun mempunyai budaya dan adat yang berbeza. 
Terima kasih Utusan.. ungkapan ikhlas dari warga pendidik di Bintulu sebelum kami meninggalkan tanah Bintulu yang terkenal dengan belacan.


Cenderahati buat Pegawai PKG.

Arif Zainal memberi taklimat kepada guru.

Suasana semasa penyerahan tablet.

Sesi taklimat bersama pegawai Secure Force dalam merencanakan penyerahan tablet berjalan lancar. 

Lawatan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan ke Utusan Melayu

6 September 2016 (Selasa) – Seramai 12 pegawai kanan Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) mengadakan kunjungan hormat ke ibu pejabat Utusan Melayu baru-baru ini. Rombongan tersebut diketuai oleh Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md. Sam.

Lawatan itu bertujuan mengeratkan silaturahim dengan kakitangan Utusan Melayu selain memahami lebih lanjut mengenai tugas dan cara kerja media terutamanya organisasi media cetak. Rombongan disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin dan beberapa pengurusan kanan Utusan Melayu.

Datuk Baharom Mahusin menerangkan sesuatu tentang akhbar Kosmo! kepada rombongon ketika mengadakan lawatan di Pejabat Kosmo!.

Delegasi EAIC bergambar kenangan di Pejabat Kosmo!.

Datuk Yaacob Md. Sam (empat dari kanan) menyampaikan cendermata kepada Datuk Abdul Aziz Ishak (tiga dari kanan) sambil diperhatikan oleh Pengurusan Kanan Utusan Melayu dan EAIC.

Rombongan melihat proses penyuntingan gambar ketika mengadakan lawatan ke Unit Foto Jabatan Pengarang. 

Lawatan di sekitar meja grafik Utusan Malaysia. 

Barisan Pengurusan Kanan Utusan Melayu dan EAIC bergambar kenangan sebelum bersurai. 


JCorp Taja Penerbitan Akhbar Jawi Untuk Tahun Ke-2

7 September 2016 (Rabu) – Johor Corporation (JCorp) terus komited dalam usahanya untuk memartabatkan tulisan jawi di negara ini apabila meneruskan penajaan akhbar Utusan Melayu Mingguan buat kali kedua. Penajaan kali ini diteruskan bagi tempoh 52 minggu bermula September 2016 hingga September 2017. Sebanyak 5,000 naskhah setiap minggu akan diedarkan ke sekolah terpilih selain kaunter pejabat kerjaan serta perpustakaan awan di semua daerah di Johor.
Majlis Pelancaran Pertukaran Dokumen Penajaan Penerbitan Akhbar Jawi antara JCorp dan Utusan Melayu (M) Berhad diadakan di Bilik Mesyuarat Eksekutif, Pejabat Menteri Besar, yang turut disaksikan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin. JCorp diwakili Presiden dan Ketua Eksekutif JCorp, Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim manakala Utusan diwakili Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak.
Turut hadir ke majlis, Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Md. Jais Sarday; Pengerusi Belia, Sukan, Kebudayaan dan Warisan negeri, Datuk Zulkurnain Kamisan; Naib Presiden Kanan Tanggungjawab Korporat JCorp, Jamaludin Md. Ali; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Malaysia, Zulkefli Hamzah.
Lebih menarik, selain diterbitkan dalam bentuk cetak dan akhbar digital, kerjasama kali ini turut merangkumi usaha mewujudkan sebuah portal berita yang menggunakan tulisan jawi. Portal yang dikenali sebagai Portal Jawi Utusan Melayu itu boleh diakses secara percuma melalui www.utusanmelayu.com.my.

Selain itu, Peraduan Semarak Jawi juga akan diadakan sempena penajaan kali ini dan pembaca akhbar tersebut boleh menyertai peraduan berkenaan yang akan diadakan secara mingguan dan bulanan. Tujuannya untuk menggalakkan orang ramai lebih mahir dalam penulisan jawi.

Datuk Abdul Aziz Ishak (kanan) dan Datuk Othman Mohamad (dua dari kanan) menandatangani dokumen perjanjian sambil diperhatikan oleh Pengurusan Kanan Utusan Melayu dan JCorp.

Datuk Abdul Aziz Ishak (tiga dari kanan) bertukar dokumen dnegan Datuk Kamaruzzaman Abu Kassim sambil disaksikan oleh Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Datuk Abdul Aziz Ishak (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Datuk Seri Mohamned Khaled Nordin (dua dari kanan) menyaksikan demonstrasi Protal Jawi Utusan Melayu sempena majlis pertukaran dokumen penajaan kali kedua penerbitan akhbar Utusan Melayu Mingguan oleh JCorp.
Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin (tengah) bersama kakitangan Utusan Melayu dan JCorp bergambar kenangan selepas majlis berlangsung.

Disediakan oleh: 







Muhammad Syakkur Mamat (Syak)
Jabatan Komunikasi Korporat
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Tel         : 603-92324435
Faks       : 603-92210594
H/P        : 013-3986300
E-mel     : syakkur.mamat@utusan.com.my

No comments:

Post a Comment