Sunday 29 October 2017

Tinta Online Volume 6/2017 - 30 Oktober 2017


Kumpulan Utusan, UKM gamatkan Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa

8 September 2017 (Jumaat) – Kumpulan Utusan dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) telah menganjurkan Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa yang diadakan di Dewan Canselor Tun Abdul Razak (Dectar), UKM Bangi. Malam puisi yang bertemakan sambutan Hari Kebangsaan 2017 itu turut melibatkan Jabatan Pengerangan sebagai penganjur bersama yang merupakan lanjutan daripada kejayaan dua penganjuran sebelum ini yang dikenali sebagai Bintang-Bintang Berpuisi.

Antara yang mendeklamasi puisi pada majlis itu ialah Sasterawan Negara, Datuk Dr. Zurinah Hassan yang membawakan puisi yang cukup menyentuh jiwa hasil ciptaannya sendiri berjudul "Senandung Bonda Kandung", Naib Canselor UKM, Prof. Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali yang menyampaikan puisi bertajuk Jiwa UKM Jiwa Merdeka dan penyair prolifik, Shukri Abdullah. Majlis turut diserikan dengan penampilan bacaan puisi bahasa asing oleh tiga pendeklamator iaitu Dr. Ashinida Aladdin yang akan menyampaikan puisi dalam bahasa Arab, Dr. Suzianna Mat Saad (Perancis) dan Hasnoor Shima Ahmad Hassan (Jerman).

Tidak sekadar bacaan puisi, tarian tradisional oleh kumpulan artis Pentarama, Jabatan Penerangan dan Pusat Seni Kebudayaan UKM (Puskeb) turut menambahkan lagi kemeriahan acara pada malam itu. Dalam mengimbangi hiburan pada majlis itu tiga penyanyi popular tanah air, Tomok, Azharina Azhar dan Ippo Hafiz turut memeriahkan acara dengan menyampaikan lagu- lagu pilihan yang turut memukau penonton yang berada dalam dewan. Dipancarkan secara langsung melalui laman sosial Utusan Online tentunya Malam Puisi Negaraku Sehati Sejiwa berjaya mencapai tujuan utamanya dalam memastikan puisi terus kekal menjadi nadi seni negara kita.

Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang tempat ke-2 Pertandingan Klip Video Puisi Negaraku Sehati Sejiwa.

Tiga orang pensyarah UKM mendeklamasikan puisi berbahasa asing iaitu Jerman, Perancis dan Arab.

 Datuk Dr. Noor Azlan Ghazali bersemangat ketika mendeklamasikan puisi yang bertajuk ‘Jiwa UKM Jiwa Merdeka’.

Datuk Dr. Zurinah Hassan turut hadir mendeklamasikan puisi buat tetamu yang hadir.

 Datuk Abdul Aziz Ishak (tengah) bersama tetamu kehormat menyanyikan lagu jalur gemilang seusai majlis berlangsung

Penyanyi tanah air, Azharina turut hadir memeriahkan majlis.

Persembahan memukau Tomok berjaya menarik perhatian tetamu yang hadir.

Lawatan Ketua Penerangan UMNO ke Utusan Melayu

21 September 2017 (Khamis) – Seramai 30 pegawai dan kakitangan Jabatan Penerangan dan Media Ibu Pejabat UMNO telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Lawatan yang diketuai oleh Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa itu disambut oleh Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalannya, Datuk Othman Mohamad serta beberapa pengurusan kanan Utusan Melayu.

Kunjungan tersebut merupakan lawatan kerja kedua Tan Sri Annuar Musa selepas memegang jawatan tersebut, dua tahun lalu bagi menjalin hubungan mesra bersama seluruh warga kerja Utusan Melayu. Turut hadir sama, Ketua Penerangan UMNO Wilayah Persekutuan yang juga Ketua UMNO Bahagian Seputeh, Senator Datuk Mustapa Kamal Mohd. Yusoff; Penolong Ketua Penerangan UMNO, Datuk Shamsul Najmi Shamsuddin; bekas Naib Canselor Universiti Perguruan Sultan Idris (UPSI), Datuk Dr. Junaidi Abu Bakar dan Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Dr. Shamrahayu Ab. Aziz.

        Selain mengadakan perbincangan dua hala, rombongan turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia, Kosmo!, Unit Jurufoto dan Pusat Maklumat Utusan bagi beramah mesra bersama kakitangan Utusan Melayu.

Tan Sri Annuar Musa mengadakan perbincangan dua hala bersama pengurusan kanan Kumpulan Utusan.

Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kanan) menyambut ketibaan Tan Sri Annuar Musa ketika hadir mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu.

Datuk Abdul Aziz Ishak (kanan) membawa Tan Sri Annuar Musa mengadakan lawatan ke sekitar pejabat Unit Fotografi.

 Tan Sri Annuar Musa (dua dari kiri) melihat foto-foto lama yang disimpan di arkib Pusat Maklumat.

 Tan Sri Annuar Musa (lima dari kiri) bersama-sama delegasi UMNO dan pengurusan kanan Utusan Melayu bergambar kenangan di hadapan pintu masuk Utusan Melayu.

Tan Sri Annuar musa (kanan) ketika mengadakan lawatan ke Unit Fotografi.

Majlis Korban & Akikah BKUM – Surau Al-Huda

4 September 2017 (Isnin) – Majlis Korban dan Akikah yang dianjurkan oleh Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) dan Surau Al-Huda mendapat sambutan yang menggalakkan daripada Kakitangan Utusan Melayu telah diadakan di Ibu Pejabat Utusan Melayu. Sebanyak empat ekor lembu dan dua ekor kambing berjaya ditumbangkan bagi tujuan qurban dan akikah.

Majlis juga turut mengadakan gotong royong memasak empat periuk sup tulang untuk dihidangkan sebagai juadah makan tengah hari bagi semua kakitangan yang hadir. Majlis diakhiri dengan penyampaian daging qurban kepada semua petugas yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik. Diharap program seperti ini dapat diteruskan pada masa akan datang bagi mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan sesama warga kerja Kumpulan Utusan.

Sesi melapah kulit lembu setelah disembelih.

Kakitangan bergambar kenangan ketika menyediakan sup tulang untuk dijamu sebagai juadah makan tengahari.

Kakitangan bergotong-royong memotong daging untuk diagihkan kepada semua kakitangan yang hadir.

 Yang Dipertua BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik (dua dari kanan) mengagihkan daging korban kepada kakitangan Kumpulan Utusan.

Majlis Penyampaian Hadiah Peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak 2017

20 Ogos 2017 – Seramai 90 pemenang utama peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak & Kosmo! 2017 diraikan dalam satu majlis yang diadakan di pusat beli-belah IOI Mall, Putrajaya. Seorang pesara Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Mustapha Albakri Shaharani, 66, dinobatkan sebagai juara Peraduan Destinasi Menarik Perak 2017 manakala seorang pegawai Telekom Malaysia,Fiqah Anugerah Jasni, 26, memenangi tempat pertama Pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak 2017 dan masing-masing membawa pulang wang tunai RM35,000 dan RM12,000.

Selain penyampian hadiah, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan oleh Gerakan Belia 4B Bandar Tun Razak dan persembahan nyanyian oleh kumpulan Genji Busker. Selain itu, pengunjung juga turut tidak melepaskan peluang menyerbu Studio Mini Kosmo! yang disediakan secara percuma. Turut hadir ke majlis, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd. Nor Ab. Samad dan Penolong Pengarang 2 Kosmo!, Lokman Othman dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kesenian, Kebudayaan, Komunikasi danMultimedia Negeri Perak, Datuk NoleeAshilin Mohammed Radzi. Peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak 2017 yang diadakan dari 23 Januari hingga 27 Mac lalu menerima sebanyak 200,000 penyertaan.

Datuk Othman Mohamad (kiri) bersama Datuk Nolee Ashilin (depan) meninjau pameran pertandingan fotografi yang telah dihantar oleh peserta.

Datuk Othman Mohamad (dua dari kiri) dan Datuk Nolee Ashilin menyampaikan hadiah kepada salah seorang pemenang pertandingan fotografi sambil diperhatikan oleh Penolong Pengarang 1 Kosmo!, Mohd Nor Ab Samad (kiri). 

Datuk Othman Mohamad dan tetam jemputan bergambar kenangan bersama pemenang pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak 2017.

Datuk Nolee Ashilin (tengah) menerima cenderamata kenang-kenangan daripada Kumpulan Utusan yang telah disampaikan oleh Datuk Othman Mohamad sambil diperhatikan oleh pengurusan kanan Kumpulan Utusan. 

Gerakan Belia 4B Bandar Tun Razak menghiburkan pengunjung dengan persembahan kebudayaan.

Pemenang-pemenang Peraduan Destinasi Menarik Perak dan Pertandingan Fotografi Destinasi Menarik Perak 2017 bergambar bersama seusai majlis berlangsung. 


Majlis penyerahan tablet Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia kepada guru peringkat Negeri Perak

12 September 2017 – Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir merasmikan majlis pengagihan tablet mengandungi Tutor Guru dan e-Paper Utusan Malaysia kepada guru-guru di dalam satu majlis yang diadakan di di kediaman Menteri Besar di Ipoh, Perak.

Seramai 39,269 guru di 1,099 buah sekolah di seluruh Perak menerima tablet tersebut yang diagih-agihkan secara berperingkat mulai 5 September hingga 21 September lalu dan pemberian tablet tersebut merupakan usaha kerajaan untuk meningkatkan lagi tahap pendidikan rakyat dengan cara membantu guru-guru menyediakan bahan pengajaran yang berkualiti.

Dalam majlis tersebut, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir turut menyempurnakan gimik pelancaran dengan menyampaikan tablet kepada 21 orang penerima yang mewakili pengetua dan guru besar bagi setiap daerah di Perak. Yang turut hadir ialah Pengarah Pendidikan negeri, Mat Lazim Idris dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad.

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (empat dari kanan) menyampaikan tablet kepada salah seorang pengetua ketika majlis berlangsung. 

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir (kanan) menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Datuk Othman Mohamad (dua dari kanan) dan tetamu kehormat yang lain.  

Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir bergambar kenangan bersama guru-guru dan pengurusan Utusan Melayu seusai majlis berlangsung.


Majlis Tautan Kasih Seberang Perai

30 Ogos 2017 (Rabu) – Lebih 100 bekas kakitangan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad cawangan Seberang Perai di sini menyingkap semula kenangan ketika sama-sama bertugas di syarikat itu dalam majlis Tautan Kasih Seberang Perai.

Majlis penuh nostalgia itu diadakan di pekarangan Loji Percetakan Utusan Melayu Seberang Perai di sini bermula pukul 2.00 hingga 5.00 petang. Majlis tersebut diadakan sebagai salah satu platform untuk mengeratkan silaturahim dalam kalangan bekas kakitangan Utusan Melayu itu khususnya yang berkhidmat antara tahun 1982 hingga 2006. Antara bekas kakitangan yang hadir itu termasuk pemberita, jurugambar, penyunting, pembaca pruf dan pekerja am pelbagai jabatan yang bertugas bersama akhbar Utusan Malaysia, Bintang Timur dan Utusan Melayu.

Turut memeriahkan majlis ialah Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Hassan Mohd. Noor yang juga merupakan bekas penyunting di Bintang Timur.

Datuk Hassan Mohd Noor (enam dari kanan) bergambar kenangan bersama-sama bekas kakitangan Utusan Melayu Seberang Perai seusai sahaja majlis berlangsung. 

Keratan akhbar pada 31 Ogos 2017

Acara memotong kek.

Sebahagian bekas kakitangan yang hadir memeriahkan majlis.

Wajah-wajah ceria bekas kakitangan Utusan Melayu Seberang Perai ketika bertemu dalam majlis Tautan Kasih. 

Pelbagai juadah disediakan buat tetamu yang hadir.

Datuk Hassan Mohd Noor (tengah) bergambar kenangan bersama Tuan Haji Azemi Azizan (kanan) dan salah seorang bekas kakitangan Utusan Melayu Seberang Perai.

Selain dijamu dengan pelbagai juadah, aktiviti seperti cabutan bertuah turut diadakan. 

Antara sebahagian tetamu yang hadir menjayakan majlis. 

Suasana meriah ketika majlis berlangsung. 

Bekas kakitangan wanita bergambar kenangan semasa acara memotong kek. 

Sebahagian bekas kakitangan bergambar kenangan bersama seusai majlis berlangsung. 


Lawatan Perhubungan Media Kumpulan Petronas ke Utusan Melayu

21 September 2017 (Khamis) – Seramai sembilan kakitangan Perhubungan Media Kumpulan Petronas telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Rombongan tersebut diketuai oleh Pengurus Kanan Jabatan Perhubungan Media, Bisnes, Irwan A Rahman dan disambut oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad. Rombongan terlebih dahulu dibawa ke bilik mesyuarat Jabatan Pengarang untuk mengadakan perbincangan dua hala dan seterusnya dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! untuk melihat secara jelas proses penerbitan akhbar. Turut hadir, Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed dan Pengarang Ekonomi, Johardy Ibrahim.


Delegasi Petronas turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Kosmo!. 

Perbincangan dua hala antara pengurusan Kumpulan Utusan dan Petronas diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengarang. 

Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed menerangkan sesuatu kepada delegasi Petronas ketika hadir mengadakan lawatan ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia. 

Pengarang Kanan Media Baharu, Aznan Bakar (kanan) memberi penerangan kepada delegasi mengenai Utusan Online. 

Datuk Othman Mohamad (lima dari kanan) bergambar kenangan bersama pengurusan Perhubungan Media Petronas dan Kumpulan Utusan seusai lawatan berlangsung. 

Datuk Othman Mohamad (kanan) menyampaikan cenderamata kepada Irwan A Rahman (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh kakitangan Perhubungan Media Petronas. 


 Lawatan Pelajar Universiti Limkokwing Kampus Brunei ke Utusan Melayu

13 September 2017 (Rabu) – Seramai 26 pelajar Universiti Limkokwing Kampus Brunei telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Rombongan yang tiba pada pukul 2.00 petang itu disambut oleh Pengurus Besar Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed dan dibawa ke Dewan Latihan Sumber Manusia untuk sesi taklimat yang disampaikan oleh Pengarang Kanan Mega, Gamal Nassir Mohd Ali, Pengarang Kanan Media Baharu, Aznan Bakar dan Penolong Pengurus Unit Pendidikan, Norazizah Abd Aziz. Rombongan turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan Malaysia dan Kosmo! untuk mengetahui serba sedikit tentang proses penerbitan akhbar. Diharap lawatan ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada pelajar-pelajar Universiti Limkokwing.

Kakitangan Jabatan Pengarang, Borhan Abu Samah (duduk kiri) memberi penerangan kepada pelajar ketika mengadakan lawatan di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia. 

Pelajar Universiti Limkokwing Kampus Brunei bersama pengurusan Utusan Melayu bergambar kenangan bersama seusai lawatan berlangsung. 

Penolong Pengurus Unit Pendidikan, Norazizah Abd Aziz (kiri) menunjukkan contoh akhbar sisipan yang terdapat di dalam Utusan Malaysia.

Simposium Saham Utusan 2017

9 September 2017 (Sabtu) - Simposium Saham Utusan 2017 yang julung-julung kali diadakan mendapat sambutan yang menggalakkan apabila lebih 1000 peserta hadir menyertai program itu yang telah berlangsung di Dewan Utusan. Penganjuran program itu adalah bertujuan untuk memberi pendedahan dan informasi yang terperinci serta meningkatkan kefahaman mengenai pelaburan dan pengurusan bijak perihal saham.

Selain menampilkan kolumnis tetap Cikgu Saham setiap Rabu di UtusanBiz, Zuraida Mohd. Zakaria sebagai penceramah, simposium itu turut menampilkan tiga lagi penceramah untuk berkongsi pengalaman dan kepakaran mereka dengan para peserta. Penceramah lain termasuklah Pengurus Shariah & Governance Islamic Capital Market, Bursa Malaysia Berhad, Muhammmad Hasanan Yunus; Penolong Pengurus Pasaran Data Jualan dan Pemasaran SI Portal.com Sdn. Bhd., Leow Cheun Yun dan Konsultan AFIQ Training & Advisory, Suzaridi Maulan.

Majlis Perasmian telah disempurnakan oleh Ahli Parlimen Setiawangsa Datuk Ahmad Fauzi Zahari dan turut hadir mewakili Kumpulan Utusan, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak dan Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad.
Selain ceramah, program yang bermula pada pukul 9.00 pagi hingga 5.00 petang itu turut menyediakan beberapa aktiviti antaranya Mini Studio Utusan, acara cabutan bertuah dan persembahan tarian kebudayaan oleh Kumpulan Mustika Ventures.


Antara penaja yang memberi sumbangan termasuk PM securities. Persatuan Remisier Bumipueta Malaysia (Pribumi) Shalsha Solutions (M) Sdn. Bhd., Jupiter Securities Sdn. Bhd., Bursa Malaysia, Hijabista dan Beyond Beauty.


Orang ramai mula beratur seawal pukul 8.00 pagi untuk mendaftar bagi menyertai Simposium Saham Utusan 2017. 

Datuk Othman Mohamad (kanan) menyampaikan ucapan sebelum majlis bermula.

Kolumnis tetap Cikgu Saham, Zuraida Mohd Zakaria memberi taklimat mengenai saham kepada para peserta yang hadir. 

Penolong Pengurus Pasaran Data Jualan dan Pemasaran SI Portal.com Sdn Bhd., Leow Cheun Yun tekun memberi ceramah kepada para peserta.

Para peserta memberi tumpuan sepenuhnya ketika ceramah berlangsung. 

Suasana dari atas ketika majlis berlangsung.

Datuk Ahmad Fauzi Zahari (tengah) menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kiri) dan Datuk Othman Mohamad (kiri).

Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kiri) bersama-sama tetamu kehormat menyempurnakan acara memotong kek. 

Antara peserta yang hadir bergambar kenangan bersama tetamu jemputan dan pengurusan kanan Kumpulan Utusan. 













Lawatan SMK Jelapang ke Kompleks Sri Utusan


29 Ogos 2016 (Selasa) – Seramai 32 pelajar berserta guru pengiring dari SMK Jelapang Ipoh mengadakan lawatan ke Komplek Sri Utusan baru-baru ini. Lawatan itu bertujuan untuk memberikan pendedahan tentang proses percetakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! serta memberi penerangan kepada pelajar tentang teknologi percetakan akhbar pada masa kini. Lawatan tersebut disambut oleh Eksekutif Kanan Pengeluaran, Wan Mohamed Redza dan Eksekutif Kanan Komunikasi Korporat, Noorhayati Darus. Diharapkan lawatan tersebut dapat membuka minda pelajar-pelajar untuk merancang kerjaya mereka pada masa hadapan serta membantu pembelajaran mereka.

Wan Mohamed Redza memberi taklimat kepada para pelajar sebelum dibawa melawat ke kawasan kilang.

Pelajar dibawa ke kawasan kilang bagi melihat secara dekat proses percetakan akhbar. 

Wan Mohamed Redza (kiri) menerima cenderamata daripada guru pengiring. 

Wan Mohamed Redza menunjukkan sistem yang digunapakai untuk mencetak akhbar. 

Pelajar dan guru pengiring bergambar kenangan bersama dihadapan pintu masuk Kompleks Sri Utusan seusai lawatan. 

Selamat Maju Jaya W. Nor Asmah W. Ismail

Pada 22 Ogos lepas, Ketua Pegawai Kewangan, W. Nor Asmah W. Asmah telah menamatkan perkhidmatan beliau selama lebih 16 tahun di Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Sebagai mengenang jasa dan budi serta ilmu yang telah ditaburkan, Pengurusan Kanan Kumpulan Utusan telah mengadakan majlis ringkas di Mandarin Oriental Kuala Lumpur.


Majlis telah dihadiri oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Pengurusan Kanan dan Editor-Editor Kanan Syarikat. Tinta merakamkan ucapan Selamat Maju Jaya.   
Kakitangan Jabatan Pengarang turut mengadakan majlis perpisahan buat W.  Nor Asmah W. Ismail di Bilik Solid@3.

Datuk Mohd Noordin Abbas (kanan) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada W. Nor Asmah W. Ismail.

W. Nor Asmah W. Ismail bergambar kenangan bersama pengurusan kanan Kumpulan Utusan yang hadir meraikan Majlis Jamuan Perpisahan yang diadakan di Mandarin Oriental.  

Datuk Mohd Noordin Abbas (tengah) beramah mesra bersama W. Nor Asmah W. Ismail sambil diperhatikan oleh Datuk Abdul Aziz Ishak (kanan), Datuk Othman Mohamed (dua dari kiri) dan Datuk A Ganesh Arumugam (kiri). 

Kakitangan Jabatan Komunikasi Korporat, Noorhayati Darus membuat persembahan khas untuk W. Nor Asmah W. Ismail. 

Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat, Nik Anura Nik Abdul Rahman (kiri) bergambar bersama W. Nor Asmah W. Ismail. 

W. Nor Asmah W. Ismail menyampaikan ucapan semasa majlis berlangsung. 

Antara kakitangan yang hadir meraikan majlis Jamuan Perpisahan Puan W. Nor Asmah W. Ismail. 

Suasana meriah ketika majlis berlangsung. 



Bengkel Kesedaran Kanser Payudara Bersama Yakult


10 Oktober 2017 (Selasa) – Program ’Pencegahan Adalah Penyelesaian Terbaik’ sempena Bulan Kesedaran Kanser Payudara telah diadakan di dewan Utusan. Acara yang diadakan pada pukul 3.00 petang itu mendapat kerjasama dari syarikat minuman kesihatan iaitu Yakult dan Breast Cancer Welfare Association (BCWA). Selain didedahkan dengan ceramah kesihatan oleh Perunding Bedah Kanser Payudara dan Endokrin, Dr Azlina Firzah dan Guru Fitness, Kevin Zahri, tetamu turut didedahkan dengan demonstrasi pemeriksaan payudara oleh BCWA bersama selebriti Awal Shaari dan Scha Al-Yahya. Semoga program ini mendapat manfaat sepenuhnya buat tetamu yang hadir.











Disediakan oleh: 







Muhammad Syakkur Mamat (Syak)
Jabatan Komunikasi Korporat
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad

Tel         : 603-92324435
Faks       : 603-92210594
H/P        : 013-3986300
E-mel     : syakkur.mamat@utusan.com.my



No comments:

Post a Comment