Taklimat Khas Kakitangan UMMB
21 Disember 2017 – Satu Taklimat Khas Kakitangan UMMB
telah diadakan di Dewan Besar, Ibu Pejabat Utusan Melayu. Taklimat yang
disampaikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas bertujuan
bagi memberi makluman kepada semua kakitangan berhubung prestasi Syarikat dan
langkah-langkah yang akan diambil bagi menghadapi cabaran yang mendatang.
Dalam taklmat tersebut,
Datuk Mohd Noordin Abbas menyeru kepada semua kakitangan supaya terus berusaha
dengan lebih gigih dan bekerja keras bagi memastikan Syarikat dapat menambah pendapatan
serta kekal optimis bagi menghadapi tahun 2018. Pada masa yang sama Datuk Mohd
Noordin Abbas turut mengumumkan berita gembira tentang pemberian satu bulan
bonus kepada semua kakitangan yang layak bagi menghargai komitmen dan membantu
meringankan beban untuk membeli kelengkapan dan perbelanjaan akhir tahun. Bonus
tersebut akan dimasukkan bersama gaji bulan Disember.
|
Antara kakitangan yang hadir mendengar taklimat yang disampaikan oleh Datuk Mohd Noordin Abbas. |
|
Nyanyian lagu Negaraku dan Suara Keramat. |
|
Kakitangan mendaftar kehadiran sebelum masuk ke dalam dewan untuk sesi taklimat. |
|
Kakitangan memenuhi dewan bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Datuk Mohd Noordin Abbas. |
|
Datuk Mohd Noordin Abbas menyampaikan taklimat kepada kakitangan di Dewan Utusan. |
Lawatan Sambil Belajar Anak-Anak Utusan ke
KidZania
27 Disember 2017 (Rabu) – Sempena cuti sekolah, Badan
Keluarga Utusan Melayu (BKUM) menganjurkan lawatan sambil belajar khas untuk
anak-anak Utusan ke KidZania. Lawatan yang bermula pada pukul 9.00 pagi itu
disertai oleh 100 orang peserta dan 22 petugas serta exco dengan menaiki 3 buah
bas. Program yang julung kali diadakan BKUM itu bertujuan bagi mengisi masa
lapang anak-anak Utusan dengan aktiviti yang berfaedah selain meningkatkan
motivasi mereka supaya dapat merancang masa depan dengan lebih cemerlang. Semoga program seperti ini diteruskan lagi di masa akan
datang.
|
Peserta beratur sementara menunggu ketibaan bas untuk bertolak ke KidZania. |
|
Peserta dan ibu bapa berkumpul di perkarangan luar dewan bagi mendengar taklimat yang disampaikan oleh Exco BKUM. |
|
Peserta selamat tiba di KidZania. |
|
Seni Kulinari, antara aktiviti yang disediakan di KidZania. |
|
sebahagian peserta melakukan aktiviti tarian. |
|
Peserta memberi tumpuan sepenuhnya ketika kakitangan KidZania memberikan taklimat mengenai aktiviti yang dijalankan. |
|
Pelbagai aktiviti menarik terdapat di KidZania, antaranya cara pembuatan ubat-ubatan. |
|
Peserta turut diberi peluang untuk beraksi di atas pentas peragaan. |
|
peserta turut didedahkan dengan pekerjaan cuci bangunan. |
|
Peserta turut mengambil peluang untuk menjadi jurugambar professional. |
|
Peserta berkumpul sementara menunggu bas untuk pulang ke Utusan Melayu. |
|
Peserta serta ahli jawatankuasa Lawatan Sambil Belajar ke Kidzania bergambar kenangan dihadapan pintu masuk KidZania sebelum pulang. |
Seminar Tutor Sifir
2 Disember 2017 (Sabtu) – Seminar Tutor Sifir anjuran Badan
Keluarga Utusan Melayu (BKUM) dan Utusan JobHouse Sdn. Bhd. (JobHouse) telah
diadakan di Pusat Latihan Ibu Pejabat Utusan Melayu. Seramai 112 orang
kanak-kanak sekolah rendah hadir bagi menyertai seminar ini.
Program yang julung kali
diadakan ini turut mendapat kerjasama dari Maths Catch iaitu sebuah akademi
yang mempunyai kepakaran dalam bidang matematik khas untuk semua peserta. Dalam
seminar ini, peserta akan belajar menghafal sifir menggunakan teknik ‘sifir
meow’. Teknik ini sangat mudah kerana peserta hanya perlu menggunakan tangan
sahaja untuk melakukan kira-kira.
Majlis turut dihadiri
oleh Yang Dipertua BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik yang sudi menyampai sijil kepada
semua peserta. Semoga program seperti ini diteruskan di masa akan datang berikutan
sambutan luar biasa yang diterima.
|
Para peserta menunjukkan nota dan alat pembelajaran yang digunakan ketika seminar berlangsung. |
|
YDP BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik (dua dari kanan) menyampaikan sijil penyertaan kepada salah seorang peserta sambil diperhatikan oleh Pengurus Kanan Utusan JobHouse Sdn Bhd, Mazlina Mohd Ali (kiri). |
|
Salah seorang peserta menunjukkan sijil penyertaan yang diterima. |
|
Peserta bergambar kenangan seusai program berlangsung. |
Kemeriahan Majlis Berkhatan BKUM
2 Disember 2017 (Sabtu) – Seramai 22 orang anak-anak
Utusan menyertai Program Berkhatan beramai-ramai anjuran Badan Keluarga Utusan
Melayu (BKUM) yang telah diadakan di dewan Utusan. Majlis yang berlangsung pada
pukul 9.00 pagi itu dimulakan dengan ucapan perasmian oleh Penolong Pengarang 2
Utusan Malaysia/Prosesan, Rozaman Ismail dan diikuti dengan acara siraman air
oleh pihak bomba di perkarangan luar dewan sebelum upacara berkhatan bermula.
Program yang mendapat kerjasama dari KPJ Kajang Specialist Hospital dan Balai
Bomba dan Penyelamat Pudu itu merupakan aktiviti tahunan BKUM yang menjadi
tradisi sejak tahun 1984. Majlis tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua
BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik serta beberapa Exco BKUM dan kakitangan Kumpulan
Utusan yang hadir bersama anak masing-masing. Semoga
acara ini diteruskan dimasa akan datang agar generasi pada hari ini tidak lupa
kepada adat warisan negara kita.
|
Para peserta diarak ke dewan bersama ibu bapa masing-masing untuk upacara berkhatan. |
|
Persembahan silat oleh Persatuan Seni Silat Lincah Malaysia sebelum acara khatan. |
|
Rozaman Ismail (tengah) menyarungkan beg sekolah sumbangan dari BKUM kepada peserta khatan. |
|
GEMBIRA.. YDP BKUM, Saiol Bakhtiar Hamik dan Rosman Ismail (tengah) bergambar bersama anak-anak Utusan sebelum acara berkhatan bermula. |
|
Rozaman Ismail (tengah) menyampaikan cenderahati kenang-kenangan kepada Pengurus Operasi KPJ Kajang Specialist Hospital, Azan Mukminah Saffin (kiri) sambil diperhatikan oleh YDP BKUM (kanan). |
|
Saifol Bakhtiar Hamik bersama Rozaman Ismail menyiram peserta khatan menggunakan pili bomba. |
|
Jelas terpancar keceriaan para peserta selepas disiram air bomba. |
|
Seorang ibu menenangkan anaknya sewakti proses berkhatan. |
|
Kakitangan KPJ Kajang membawa keluar seoarang peserta setelah selesai proses berkhatan. |
|
Kakitangan KPJ mendukung seorang kanak-kanak untuk dibawa ke tempat operasi khatan. |
Kunjungan Hormat Undang Luak Johol ke Utusan
Melayu
28 November 2017 (Selasa) –Undang Luak Johol, Datuk Johan
Pahlawan Lela Perkasa Sitiawan, Datuk Muhammed Abdullah telah mengadakan
kunjungan hormat ke ibu pejabat Kumpulan Utusan Melayu (M) Berhad bersama 14
anggota delegasinya. Rombongan yang tiba pada pukul 2.15 petang itu disambut
oleh Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua Pengarang
Kumpulan, Datuk Othman Mohamad, Penolong Ketua Pengarang, Datuk Mohd. Hassan
Mohammad Noor dan Pengarang Kosmo, Datuk Baharom Mahusin.
Kunjungan
tersebut bermatlamat untuk mendapat penerangan dan memahami dengan lebih jelas
mengenai peranan dan fungsi akbar dan media di bawah Kumpulan Utusan yang
diasaskan sejak tahun 1939. Lawatan dimulakan dengan taklimat dan perbincangan
sebelum dibawa melawat ke Jabatan Pengarang Utusan dan Kosmo. Yang Dipertuan Besar Negeri
Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir melantik Muhammed sebagai Undang Luak
Johol ke-15 pada 15 Disember 2016. Undang Luak Johor merupakan ketua agama dan
ketua adat di Johol. Institusi Undang Luak Johol telah diasaskan sejak 294 tahun
lalu iaitu sekitar tahun 1723 oleh seorang wanita yang dikenali sebagai Puteri
Kanun
|
Datuk Muhammed Abdullah (tengah) bergambar kenangan bersama pengurusan kanan Utusan Melayu dihadapan pintu masuk Utusan Melayu. |
|
Datuk Abdul Aziz Ishak (kiri) menyampaikan cenderamata kenang-kenangan kepada Datuk Muhammed Abdullah (tengah) sambil diperhatikan oleh datuk Othman Mohamad (kanan). |
|
Sesi lawatan di pejabat Kosmo!. |
|
Bergambar kenangan bersama kakitangan Kosmo!. |
|
Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin (kiri) menerangkan sesuatu kepada Undang Luak Johol. |
|
Kakitangan Utusan Melayu turut mengambil kesempatan bergambar kenangan bersama Datuk Muhammed Abdullah di Jabatan Pengarang Utusan Malaysia. |
|
Editor Foto, Kadir Bachok (kanan) menunjukkan sesuatu kepada Datuk Muhammed Abdullah. |
|
Pengurus Unit Pendidikan, Wahid Hashim (kanan) menunjukkan akhbar sisipan Tutor kepada Undang Luak Johol (dua dari kanan). |
|
Perbincangan dua hala diadakan di Bilik Mesyuarat Jabatan Pengarang antara delegasi dan pengurusan kanan Utusan Melayu. |
Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama
UM/KKPA 2016-2018
14 November 2017 (Selasa) – Majlis Menandatangani Perjanjian
Bersama antara Utusan Melayu dan Kesatuan kebangsaan Pekerja-pekerja Akhbar (KKPA)
Cawangan Utusan Melayu telah diadakan di Dewan Latihan.
Melalui perjanjian itu, seramai
439 kakitangan KKPA cawangan Utusan Melayu bakal menikmati kenaikan dan
pelarasan tunggakan gaji baharu iaitu sebanyak enam peratus. Antara perjanjian bersama lain adalah tambahan
sebanyak RM5 di dalam kenaikan tahunan bagi setiap julat gaji, tambahan 50 sen
bagi elaun kerja malam syif pertama, kedua dan elaun makan. Selain itu tambahan
RM20 subsidi cermin mata bagi kali pertama, kedua dan seterusnya.
Utusan diwakili oleh
Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd. Noordin Abbas dan Pengurus Besar Sumber
Manusia, Mohd. Nazlan Osman. Manakala, kesatuan pula diwakili oleh Presiden
KKPA Pusat, Rahim Omar; Setiausaha Eksekutif KKPA Pusat, Mohd. Shah Daniel;
Pengerusi KKPA cawangan Utusan Melayu, Shamsul Ismail; Setiausaha cawangan
Utusan Melayu, Sharan Husin dan Bendahari cawangan Utusan Melayu, Marzlan
Mohamed.
|
Antara kakitangan yang hadir ke majlis. |
|
Datuk Mohd Noordin Abbas menyampaikan ucapan alu-aluan. |
|
Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kiri) menandatangani perjanjian sambil diperhatikan oleh Mohd Nazlan Osman (kiri). |
|
Utusan diwakili oleh Datuk Mohd Noordin (empat dari kiri) dan Mohd Nazlan Osman (dua dari kiri) manakala KKPA diwakili oleh Preseiden KKPA Pusat, Rahim Omar (empat dari kanan), Setiausaha Eksekutif KKPA Pusat, Mohd Shah Daniel (dua dari kanan) dan Pengerusi KKPA Cawangan Utusan Melayu, Shamsul Ismail (kanan). |
|
TERMETRAI.. Datuk Mohd Noordin Abbas (dua dari kiri) dan Shamsul Ismail bertukar dokumen selepas selesai menandatangani perjanjian. |
|
Datuk Mohd Noordin Abbas (tengah0 bergambar kenangan bersama kepimpinan KKPA cawangan Utusan Melayu. |
Antara Air, Tanah Merah dan Tablet
Oleh: Azman Kamaruddin
Alhamdulillah dipanjatkan kesyukuran kehadrat Ilahi,
pihak Utusan Melayu terus diberikan inspirasi untuk melakukan penyerahan tablet
kepada semua guru di seluruh Malaysia. Insya Allah.
Bermula pada September
2016 sehingga kini, kakitangan Kumpulan Utusan terus menerus dalam melakukan
serahan ke enam negeri kepada guru-guru Malaysia untuk menikmati tablet Huawei
dan Lenovo yang disumbangkan oleh Perdana Menteri kita. Pelbagai reaksi dan cadangan
daripada pihak guru yang menerima tablet ini, dari sedekat Kuala Lumpur
hinggalah Sarawak.
Di peringkat jabatan
pelbagai usaha telah dilakukan dalam merealisasikan penyerahan ini agar dapat
diserahkan mengikut jadual yang telah ditetap. Namun disebalik tadbir, ianya
tidaklah seperti yang kita bayangkan. Hanya serahan pada guru, guru dengan
taklimat, semak tablet berfungsi, maka selesai sudah.
Bagi petugas pula,
pelbagai cabaran dan rintangan perlu dihadapi serta memerlukan siap siaga dalam
menjayakan misi ini. Dua minggu meninggalkan keluarga adalah satu cabaran yang
menyentuh hati nurani. Bagi yang
mempunyai anak kecil, akan menghadapi sedikit rintangan untuk keluar
menjalankan tugas murni ini. Sebagai contoh penulis ingin menyentuh sedikit
cabaran untuk menghantar tablet untuk 61 guru di salah sebuah sekolah
pendalaman di Gerik.
Sekolah yang dimaksudkan
ialah SK RPS Pos Sungai Kemar. Perjalanan dari Pekan Gerik ke Jeti Hentian
Royal Belum mengambil masa selama 50 minit.
Sampai di jeti kami dimaklumkan perjalanan untuk ke sekolah ini
mengambil masa 1 jam 15 minit. Dengan hanya menggunakan bot kecil, tempat duduk
berlandaskan papan sekeping perjalanan ini mesti diteruskan. Cuaca yang dipayungi langit biru, air tasik
berwarna hijau, membelah laluan tasik Belum untuk menuju ke sekolah penempatan
orang asli. Kejadian alam memang tidak boleh digambarkan walaupun dengan
lukisan. Itulah hakikatnya sepanjang perjalanan ini, tugul-tugul gerigis
menghiasi tasik yang sesahut mata memandang.
Setibanya di jeti, pacuan
empat roda yang “gagah” bersiap sedia menanti kehadiran kami. Namun, kenderaan
ini cuma dapat memuatkan lima orang sahaja manakala selebihnya harus berdiri
dibelakang kenderaan tersebut. Keadaan muka bumi yang berliku dan kesan selepas
banjir serta lopak menjadikan kenderaan ini seolah-olah seperti orang yang
mabuk yang membawa kenderaan dan nafas turun naik enjinnya bagaikan kerbau yang
kemarahan anaknya hilang dilarikan orang.
Namun setelah hampir setengah jam dilambung pacuan empat roda ini, kami
akhirnya tiba di destinasi yang ditujui. Disambut dengan persembahan dari
anak-anak orang asli, merasakan kami seperti amat dihargai. Kami turut disambut
oleh 61 orang guru yang tidak lekang dengan senyuman kerana menerima tetamu
dari jauh walaupun agak terlewat dari jadual yang ditetapkan. Sempat juga
mereka berkongsi cerita akan pengalaman mengajar di kawasan pedalaman ini.
Namun guru tetap berbangga kerana amanah mendidik anak bangsa tidak pernah
pudar.
Itu cerita sepanjang
menyeberangi tasik dan ini pula sedikit kisah pengalaman menghantar tablet ke
kawasan orang asli yang mempunyai permukaan muka bumi yang berbukit bukau dan
denai. Kisah ini berlaku di SK RPS Pos
Dala di kawasan Hulu Perak. Dengan keadaan yang berlurah dan berbukit,
perjalanan kami diiringin dengan titisan hujan yang cukup mencabar. Hanya
kenderaan pacuan empat roda sahaja yang bersesuaian untuk melalui kawasan
tersebut. Namun sebaliknya, Cikgu Tan selaku Guru Besar sekolah tersebut
menjemput kami dengan menaiki kenderaan MPV Toyota Unser. Penulis terfikir akan
lojiknya kenderaan ini untuk memasuki kawasan yang berlubang, berbukit, denai
dan lurah serta gaung yang sentiasa menanti sekiranya silap dalam membuat
perhitungan. Keyakinan yang diberikan
oleh Cikgu Tan meyakinkan kami untuk memasuki kawasan pendalaman ini. Satu jam
setengah masa diambil untuk sampai ke sekolah ini. Melambung-lambung kami di
dalam MPV Unser ini, kejap melorot ke kiri kejap ke kanan. Gelak-gelak juga,
tapi dalam hati tuhan sahaja yang tahu. Cikgu Tan ada bercerita akan malapetaka
yang sering berlaku kepada guru yang mengajar di sini. Ada yang patah tangan,
kaki, malahan badan motosikal juga pernah terputus dua.
Serahan dilakukan,
selesailah sudah. Hujan dilangit masih tidak lekang membasahi bumi, permukaan
jalan tanah merah yang pekat terus mengalirkan air di celah-celah rekahan
tanah. Hati rasa tidak keruan memandangkan ramai guru yang berkata “kalau
ikutkan hujan begini, rasanya tayar kereta mesti terbenam”. Jantung berdegup
laju tidak berhenti macam keretapi ERL. “Perjalanan balik mesti diteruskan”
kata Cikgu Tan kerana beliau mempunyai urusan di Ipoh pada petang nanti. Dalam hujan yang lebat perjalanan diteruskan
juga. Satu persatu rintangan dilalui sehinggalah satu kawasan berbukit Toyota
Unser berderum kuat, Cikgu Tan menekan padel minyak dan vrommm…. Akhirnya tewas
juga di kawasan tanah merah yang lembut disaluti air dan lumpur menyebabkan
kami terperangkap di tengah-tengah pendakian. Hanya menunggu pacuan empat roda
yang lalu untuk membantu. Setelah hampir sejam menunggu, hujan pun beransur
berhenti dan akhirnya empat buah pacuan empat roda yang melalui kawasan kami
memberikan bantuan menarik kenderaan tersebut. Perjalanan di teruskan lagi,
masih adakah rintangan dihadapan?. Itulah cabarannya, namun tiada siapa
menduga, kami sekali lagi diuji, nyaris kenderaan ini tidak terbalik. Pasukan
yang sama membantu dengan penuh kesungguhan walaupun tidak pernah mengenali
antara satu sama lain sebelum ini. Alhamdulillah akhirnya setelah dua jam
terperangkap, kami berjaya jejaki jalan keluar dengan selamat. Penulis sempat
bersalaman dengan guru-guru yang bertugas di SK Pos Dala ini. Apa yang penulis
bisikkan pada salah seorang guru ialah “ Cikgu sememangnya wira tak didendang”.
Semoga Allah memberkati dan merahmati jasa guru yang bertugas di pedalaman.
Amin..
|
Petugas Utusan membantu mengangkat barang-barang dari bot untuk dibawa masuk ke sekolah. |
|
permandangan tasik ketika menaiki bot menuju ke destinasi. |
|
penulis dan sebahagian petugas menaiki bot ketika menuju ke destinasi. |
|
Pengurus Utusan Land Sdn Bhd, Nur Azan Hasan (kanan) bergambar kenangan bersama guru besar dan Tok Batin SK Sg Kemar. |
|
Wira yang tak didendang.. guru-guru kelihatan ceria setelah menerima tablet daripada petugas Utusan. |
|
Antara cabaran yang perlu ditempuhi oleh petugas Utusan ketika menuju ke destinasi. |
|
Petugas Utusan, Nadhirah Zainuddin (kanan) menunjukkan kenderaan yang terbenam akibat lumpur dan tanah licin. |
|
Petugas Utusan, Naem Nazaruddin (kiri) cuba membantu kenderaan yang terperangkap dalam tanah berlumpur. |
|
Berat sama dipikul, ringan sambil dijinjing. |
|
Kenderaan lain cuba membantu kenderaan yang terperangkap dalam tanah lumpur. |
|
Keadaan muka bumi yang berlumpur dan licin menyukarkan petugas untuk menuju ke destinasi, namun tidak mematahkan semangat mereka untuk terus menggalas tanggungjawab yang dipikul. |
SK Dala Umpama Mimpi Dalam Mimpi
Oleh: Azman Kamaruddin
Gerik suatu nama yang masih terpahat dan pernah tersurat
sebagai kawasan hitam suatu masa dahulu. Namun perubahan beberapa dekad ini
telah menjanjikan suatu pembaharuan yang terancang untuk diulit oleh warga
Gerik pada masa ni dan akan datang. Dengan keluasannya sekitar 104.88km persegi
kini Pekan Gerik menjadi tanda aras akan kehijauan hutan yang masih belum
dinodai oleh pemburu untuk menjamah hasil hutan yang masih dara ini. Disebabkan
pembangunan dan pengstrukturan daerah Gerik ini, maka pembangunan dan
pendidikan cukup dititikberatkan di sini.
Maka banyaklah sekolah kerajaan didirikan disini sehingga ke kawasan
yang agak terasing iaitu di kawasan pendalaman di daerah ini.
Baru-baru ini pihak
Utusan Melayu (Malaysia) Berhad telah diamanahkan untuk melakukan serahan
tablet untuk guru di salah sebuah sekolah di pedalaman Gerik . SK Dala adalah
sebuah sekolah yang dikategorikan sebagai sekolah pendalaman yang pelajarnya
adalah penduduk asli suku Temiar.
Perjalanan dari Pekan Gerik lebih kurang dalam 50 kilometer namun
mengambil masa hampir dua jam untuk sampai ke destinasinya.
Seramai lapan kakitangan
Kumpulan Utusan yang terlibat dalam misi penghantaran tablet serta empat
kakitangan dari Syarikat Secure Force yang dilantik untuk mengawal selia proses
serahan. Kenderaan pacuan empat roda dari Secure Force dan MPV Toyota Unser
milik Guru Besar SK Dala digunakan bagi membawa masuk kami ke kawasan sekolah
tersebut. Subuh yang bening, hujan turun tanpa ada tanda-tanda akan
berhenti. Sekitar pukul 8.00 pagi Cikgu
Tan sudah bersedia menjemput kami untuk pihak kami lakukan serahan di sekolah
beliau. Seorang guru keturunan cina, namun terlalu fasih dalam berbahasa melayu
terutamanya apabila beliau melafazkan setiap bait perkataan sehinggakan kami
rasa terpegun apabila Cikgu Tan boleh berperibahasa dengan baik sekali.
Hujan terus membasahi
tanah yang sudah sedia merah. Sambil memandu Cikgu Tan turut menceritakan
pengalaman beliau yang baharu berpindah ke sekolah ini kurang lima bulan yang
lalu. Terserempak dengan binatang berbisa dan buas seperti alah bisa tegal
biasa. Juga kisah beliau hampir maut apabila kenderaannya hampir masuk ke gaung
disebabkan hujan lebat dan permukaan jalan tanah merah yang licin. Agak kerdil diri penulis bila Cikgu Tan
bercerita tentang rintangan dan cabaran yang diharungi sepanjang perjalanan
beliau ke sekolah. Kedudukan kenderaan Unser sekejap ke kiri dan ke kanan
terasa seolah-olah kenderaan ini bergerak dengan sendiri di permukaan jalan
yang licin dan berlopak, akhirnya kami selamat tiba ke destinasi setelah
dilambung bagaikan ombak di dalam kenderaan tersebut.
“Yek Icen Wek Sekolah” adalah slogan
dari suku Temiar yang bermaksud “Saya Suka Pergi ke Sekolah” menyambut
rombongan kami yang hadir diselimuti kesejukan dan hujan yang tiada tanda akan
hentinya. Kami disambut oleh guru dan di
bawa melihat persekitaran yang menghijau dan nyaman yang jauh dari pekikan
kota. Melawat salah satu kelas, dimana hanya dua
orang pelajar sahaja yang hadir. Menurut Cikgu Tan ini disebabkan hujan lebat
yang tidak berhenti dan menyukarkan anak-anak orang asli untuk datang ke
sekolah. Nur Azan dari Utusan land, cuba menyantuni pelajar tersebut sambil
meminta pelajar tersebut membaca. Beliau rasa terpegun apabila anak orang asli
ini cukup bijak membaca dan mendorong Nur Azan untuk memberi jajan memandangkan
pelajar ini juga merupakan pelajar harapan bagi kategori pedalaman dan anak
orang asli.
Seramai 169 orang pelajar
di bantu oleh 17 orang guru, ianya menjadi titik tolak menimpa kejayaan
walaupun serba kekurangan dari segi kemudahan asas, namun jasa guru tidak
pernah luntur, Umpama mimpi guru tetap
utuh dalam merealisasikan impian sebagai penyuluh dalam usaha mencari permata
yang hilang.
|
Antara petugas yang terlibat dalam misi serahan tablet di SK Dala Gerik Perak. |
|
Penulis sempat merakam kenangan di hadapan sekolah SK Dala. |
|
Sampai tersipu malu adik ni ketika belajar membaca dengan Nur Azan Hasan, ajar subjek apa tu azan? |
|
Sebahagian daripada murid SK Dala bersama gurunya. |
|
Persis guru muda, bakat Nadhirah dalam mengajar adik-adik SK Dala tidak boleh dipertikaikan. |
|
Cikgu Nani (kiri) merupakan seorang guru dari suku kaum Temiar yang mengajar di SK Dala. |
|
Nadhirah (kiri) dan Teh Akbar (kanan) sempat posing di hadapan papan putih untuk memberi maklumat kepada para guru. |
|
Guru-guru yang mencorakkan masa depan anak-anak warga suku Temiar ceria ketika menerima tablet dari petugas Utusan. |
Majlis Penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan
Utusan 2016
13 November 2017 (Isnin) – Hadiah Sastera Kumpulan Utusan
2016 (HSKU) terus konsisten mewarnai latar sastera tanah air apabila mencapai 32
tahun penganjurannya. Majlis penyampaian hadiah yang diadakan di Hotel Istana
Kuala Lumpur telah disempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tengku
Permaisuri Norashikin, Tengku Permaisuri Selangor dan dilaksanakan dengan kerjasama Permodalan Nasional
Berhad (PNB).
Sebanyak lima kategori
dipertandingkan iaitu Novel Remaja, Cerpen, Cerpen Remaja, Puisi, Rencana
Swasta dan termasuk kategori baharu iaitu Cerpen Media Baharu melalui
penyertaan melalui portal Utusan Online. Seorang bekas wartawan, Salina Ibrahim
dinobatkan sebagai pemenang kategori Novel Remaja dengan mempertaruhkan novel
beliau yang bertajuk ’Khilaf’ dan membawa pulang wang tunai RM12,000 serta
hadiah iringan. Manakala, ditempat kedua kategori itu diraih Md Nizar Parman
melalui novel 'Manifestasi Ketam Biru' dan Nazri Hussein di tempat ketiga
dengan 'Rindu Syonan-to', masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai
berjumlah RM8,000 dan RM5,000 berserta hadiah iringan.
Selain Salina Ibrahim, Md
Nizar Parman dan Nazri Hussein, seramai 35 pemenang berjaya menggondol pelbagai
hadiah daripada 5 kategori yang dipertandingkan. HSKU kali ini menyaksikan
peningkatan nilai hadiah bagi setiap kategori dengan nilai keseluruhan
berjumlah RM100,000 berbanding RM80,000 tahun lalu. Peningkatan nilai hadiah
tersebut sebagai menyahut cabaran Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr.
Ahmad Zahid Hamidi yang mencadangkan jumlah hadiah dipertingkatkan ketika
merasmikan HSKU ke-31 tahun lalu.
Turut hadir ke majlis
berprestij ini ialah Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas,
Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalan Ketua
Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Pengerusi Permodalan Nasional
Berhad (PNB), Tan Sri Abdul Wahid Omar dan Ketua Pemantauan dan Penguatkuasaan
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Zulkarnain Othman.
|
Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin diiringi Pengarah Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) melawat pameran Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016. |
|
Tengku Permaisuri Norashikin (tengah) bergambar kenangan bersama Pengurusan Kanan Utusan Melayu dan ahli jawatankuasa Induk Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016. |
|
Berdiri bagi menghormati lagu Negaraku. |
|
Persembahan pembukaan oleh para pelajar diploma seni persembahan Universiti Limkokwing. |
|
Suasana meriah ketika majlis berlangsung. |
|
Datuk Mohd Noordin Abbas (kiri) menerima cek tajaan dari Tan Sri Wahid Omar (kanan). |
|
Tengku Permaisuri Norashikin menyampaikan hadiah kepada pemenang pertama kategori Novel Remaja, Salina Ibrahim (dua dari kanan) sambil diperhatikan oleh tetamu-tetamu kehormat. |
|
Tengku Permaisuri Norashikin bergambar bersama pemenang-pemenang ketegori Novel Remaja serta dif-dif kehormat. |
|
Tengku Permaisuri Norashikin menyempurnakan gimik pelancaran sambil diperhatikan oleh Tan Sri Wahid Omar (dua dari kiri) dan Datuk Abdul Aziz Ishak (dua dari kanan). |
|
Datuk Mohd Noordin menyampaikan ucapajn alu-aluan. |
|
Tan Sri Wahid Omar menyampaikan sepatah dua kata ketika majlis berlangsung. |
|
Tengku Permaisuri Norashikin bersama tetamu kehormat bergambar kenangan bersama pemenang-pemenang Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2016. |
BKUM Bantu Kakitangan Dilanda Banjir
6 Disember 2017 (Rabu) – Simpati dengan nasib yang menimpa
mangsa banjir, Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) tampil menghulurkan bantuan
kepada kakitangan Seberang Jaya yang terjejas akibat bencana banjir.
Sejumlah RM3,250 telah disumbangkan
kepada 11 kakitangan Seberang Jaya yang disampaikan oleh Yang Dipertua BKUM, Saifol
Bakhtiar Hamik dan beberapa Exco di Bilik Latihan Loji Seberang Jaya. Semoga
sumbangan dari BKUM ini sedikit sebanyak dapat meringankan beban yang
ditanggung mereka.
|
YDP BKUM, Sifol Bakhtiar Hamik (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kakitangan yang ditimpa bencana banjir. |
|
YDP BKUM, Sifol Bakhtiar Hamik (kanan) menyampaikan sumbangan kepada salah seorang kakitangan yang ditimpa bencana banjir. |
|
Kakitangan Seberang Jaya bergambar kenangan bersama YDP dan Exco BKUM selepas majlis penyerahan sumbangan. |
|
Sesi penyampaian sumbangan kepada kakitangan. |
|
Kakitangan memberi tumpuan sepenuhnya kepada ucapan aluan yang disampaikan oleh YDP BKUM. |
|
Saifol Bakhtiar Hamik (tengah berdiri) menyampaikan kata-kata aluan. |
Lawatan Pelajar MSU ke Kompleks Sri Utusan
Seramai 10 orang pelajar
jurusan sumber manusia, Management and Science University, Shah Alam telah
mengadakan lawatan ke Kompleks Sri Utusan Bangi. Rombongan itu disambut oleh
Ketua Kompleks Sri Utusan, En Farouq Affandi Mamat. Manakala sesi taklimat dan
penerangan operasi percetakan akhbar telah disampaikan oleh Eksekutif Kanan Pengeluaran,
Wan Mohamed Redza. Selain diberi penerangan tentang operasi percetakan, para
pelajar juga turut di bawa melawat ke kawasan kilang bagi melihat secara jelas
proses percetakan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo!. Semoga
lawatan ini memberi manfaat sepenuhnya kepada para pelajar.
|
Pemangku Ketua Jabatan Pengeluaran, Farouq Affandi Mamat (kanan) menerangkan serba sedikit tentang akhbar Utusan Malaysia kepada para pelajar. |
|
Para pelajar dibawa ke bilik mesyuarat untuk diberikan pendedahan mengenai proses percetakan akhbar. |
|
Wan Mohamed Redza Rauf (kanan) mengedarkan akhbar Kosmo! ketika sesi lawatan di kilang Sri Utusan. |
|
Farouq Affandi Mamat (kiri) dan Wan Mohamed Redza (kanan) bergambar kenangan bersama pelajar MSU di hadapan pintu masuk Kompleks Sri Utusan sebelum lawatan berakhir. |
Pencarian Gadis Panca Peringkat Akhir
16
Januari 2018 (Selasa) – Pencarian Gadis Panca NR anjuran Mingguan Malaysia menerusi
sisipan Pancaindera akhirnya terjawab apabila ia dimenangi oleh Siti Khadijah
Abdul Halim pada pertandingan akhir yang telah berlangsung di Dewan Utusan
Melayu. Khadijah merupakan penuntut tahun akhir Diploma Komunikasi Media Baharu
dan Keusahawanan Kandungan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Lendu, Melaka.
Kemenangan gadis berusia
21 tahun itu sekali gus menumpaskan 11 peserta lain dengan pakej lengkap selain
membawa watak lakonan monolog yang meyakinkan para juri bertajuk Girlfriend
Aku Dari Neraka iaitu sebuah karya yang diciptanya sendiri. Finalis yang
berasal dari Kuala Lumpur dan kini menetap di Bandar Baru Bangi, Selangor itu
juga merancang untuk terbabit sebagai pelakon serta melanjutkan pengajian
sehingga peringkat ijazah pertama pada masa sama.
Pentas akhir Gadis Panca
NR diadili oleh barisan juri yang terdiri daripada pelakon, Rita Rudaini, Jasmin
Hamid dan Hefny Sahad serta penerbit terkemuka, Datuk A. Aida. Hasil kemenangan
itu, Khadijah membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai berjumlah
RM10,000, trofi dan pakej percutian lima hari empat malam ke London selain
menerima kontrak lakonan selama dua tahun bersama rumah produksi A. Aida
Production.
Tempat kedua pertandingan
dimenangi oleh Nur Ainaa Azhari, 19, penuntut universiti awam yang membawa
pulang hadiah wang tunai RM5,000 serta pakej pelancongan ke Australia, manakala
model sambilan, Azlin Abdul Aziz, 20, berpuas hati di tempat ketiga dengan
menerima wang tunai RM3,000 serta pakej pelancongan ke Thailand. Kedua-duanya
turut menerima kontrak tawaran berlakon bersama A. Aida Production.
Sementara itu, dua lagi
peserta turut memenangi kategori khas iaitu Nurfazaazira Yusri untuk Anugerah
Pereka Fesyen Terbaik dan Sifeny Mohd. Osman pula untuk Anugerah Utusan Online.
Seramai 12 peserta berjaya ke peringkat akhir Gadis Panca NR setelah hampir
3,000 peserta dari seluruh negara menghantar permohonan sejak awal Januari
tahun lalu.
Turut hadir Pengarah
Urusan Kumpulan Utusan, Datuk Mohd. Noordin Abbas; Ketua Pengarang Kumpulan,
Datuk Abdul Aziz Ishak; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman
Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor;
Pengarang Mingguan Malaysia, Badrul Azhar Abdul Rahman serta Pengurus Jabatan
Pengarang, Ainol Amriz Ismail.
Pencarian Gadis Panca NR
yang dianjurkan buat julung kalinya dengan tujuan menyemarakkan industri seni
dan hiburan tanah air melalui komitmen mencungkil bakat baharu dalam bidang
berkenaan. Gadis-gadis cantik, bijak dan berbakat menjadikan acara ini sebagai
jambatan untuk mereka menjejaki dunia seni seterusnya mencipta nama pada masa
hadapan. Pertandingan akhir Gadis Panca NR Mingguan Malaysia dihoskan oleh
Fahrin Ahmad.
Kempen Kesedaran Kesihatan 2018
23 Januari 2018 (Selasa) – Yayasan Kumpulan Utusan dengan
kerjasama Kolej Sains Kesihatan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) telah
mengadakan Kempen Kesedaran Kesihatan 2018 kepada kakitangan Utusan secara
percuma di Dewan Utusan. Seramai 77
pelajar diploma lanjutan dari jurusan Perawatan Kecemasan, Kejururawatan dan
Perioperatif terlibat dalam mengadakan bengkel ringkas mengenai rawatan awal
kecemasan, khidmat nasihat kesihatan dan ujian saringan kesihatan.
Program yang berlangsung dari pukul 11.00
pagi hingga 4.00 petang itu turut menerima kunjungan sebanyak 75 warga emas dan
anak-anak yatim pelbagai kaum dari tiga buah rumah perlindungan sekitar Lembah
Klang. Antara pendedahan atau aktiviti yang dijalankan adalah seperti saringan
kesihatan, demonstrasi pertolongan cemas dan breast self examination.
Kempen Kesedaran kesihatan 2018 merupakan
sebahagian tanggungjawab sosial korporat Utusan Melayu yang bertujuan bagi memberi
pendedahan mengenai kepentingan kesihatan kepada masyarakat selain mengeratkan interaksi
antara kaum terutamanya mengenai aspek kesihatan secara menyeluruh.
Semoga program sebegini terus diperluaskan
dan diadakan secara berterusan bagi meningkatkan taraf kesihatan masyarakat
setempat tanpa mengira kaum seterusnya menjadi
platform mendidik masyarakat mengamalkan pemakanan dan gaya hidup sihat.
UIA juara MULVEC 2017 siri 3
30 Januari 2018 (Selasa) – Kumpulan EZ dari Universiti Islam
Antarabangsa (UIA) muncul juara Pertandingan Video Multimedia (Mulvec 2017)
siri 3 sekaligus menggondol hadiah berjumlah RM10,000. Tempat kedua jatuh
kepada Kelab Media PSA dari Politeknik Shah Alam, diikuti kumpulan Connected
dari Universiti Malaya (UM). Bagi siri 2, tiada pemenang utama diumumkan. Majlis
penyampaian hadiah di Dewan Besar Utusan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan
Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh.
Turut hadir, Pengarah Urusan Kumpulan Utusan Malaysia, Datuk
Noordin Abbas, dan Ketua Pengarang Kumpulan, Utusan Malaysia, Datuk Abdul Aziz
Ishak. Mulvec merupakan pertandingan video pendek khusus buat pelajar institusi
pengajian awam dan swasta, dalam menyerlahkan kreativiti dan sudut artistik
mereka. Pertandingan ini dianjurkan oleh KPT dengan kerjasama Unit Media
Baharu, Utusan Malaysia.
No comments:
Post a Comment