Thursday 19 April 2018

Tinta Online Volume 2/2018 - 26 Mac 2018


Forum Survival Politik Islam Dalam Siasah

12 April 2018 (Khamis) – Lebih 300 orang pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta hadir ke Forum Survival Politik Islam Dalam Siasah anjuran Utusan Melayu yang telah diadakan di Dewan Utusan.  Forum tersebut dikendalikan oleh Pengarang Kanan Media Baharu, Aznan Bakar merangkap moderator dan menampilkan YBhg Prof Datuk Dr Sidek Baba, Profesor Kulliyyah Pendidikan Universiti Islam Antarangbangsa Malaysia (UIAM) sebagai panel.

Selain forum, turut diadakan penyerahan mockup langganan percuma e-paper utusan kepada wakil pelajar dan penyampaian cenderamata kepada YBhg Prof Datuk Dr Sidek Baba yang disampaikan oleh Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Othman Mohamad dan Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah. Semoga forum ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada para pelajar yang hadir. 











Kemeriahan Majlis Syoknya Kenduri Keluarga Utusan 2018

10 April 2018 (Selasa) – Majlis Syoknya Kenduri Keluarga Utusan 2018 telah diadakan di Dewan Utusan baru-baru ini. Program anjuran Badan Keluarga Utusan Melayu (BKUM) itu bertujuan bagi menyemarakkan semangat gotong royong antara kakitangan serta merapatkan ukhwah yang sedia terjalin.

Majlis turut diisi dengan ceramah perdana yang disampaikan oleh YBhg Datuk Dr Izhar Arif, Pensyarah Kanan di Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam UKM. Selain itu, terdapat pelbagai juadah yang disediakan oleh kakitangan mengikut kiosk antaranya "Syoknya Aloha, UMES Village, Hotel Sri Utusan, Teratak Jabatan Pengarang dan pelbagai lagi. Di samping itu juga, acara kiosk terbaik turut diadakan dan gerai ‘Hotel Sri Utusan’ telah dinobatkan tempat pertama kiosk terbaik manakala UMES Village di tempat kedua.


Dalam majlis tersebut, BKUM turut melancarkan program sambutan ulang tahun ke-40. Hadir sama dalam majlis ini, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Timbalannya, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor dan Yang Dipertua BKUM, Saifol Bakhtiar Hamik. Semoga majlis seperti ini diteruskan kerana dengan adanya program seperti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara warga kerja selain bertukar-tukar pandangan dalam melaksanakan tanggungjawab mereka menjayakan sesuatu program.















Program Pencegahan dan Kesedaran mengenai Dadah, Alkohol, Isu Perhubungan, Pembaziran Masa, dan Merokok (DARTS)

21 Mac 2018 (Rabu) - Program Pencegahan dan Kesedaran mengenai Dadah, Alkohol, Isu Perhubungan, Pembaziran Masa, dan Merokok (DARTS) telah diadakan di Universiti Malaya (UM) baru-baru ini. Program yang berbentuk forum itu dianjurkan oleh Sekretariat Pencegahan dan Kesedaran UM, Kumpulan Utusan, Sathya Sai Academy For Human Values dan Kumpulan Persahabatan Khidmat Antara Agama (FGIS) itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri S. K Devamany. Program yang melibatkan 500 mahasiswa daripada universiti tersebut merupakan projek perintis yang dibimbing oleh Prof. Dr. Suresh Govind sebagai penyelaras Sekretariat DARTS UM dan bertujuan bagi memerangi gejala sosial dalam kalangan remaja dengan melibatkan mahasiswa daripada UM sebagai pembimbing rakan sebaya kepada golongan muda.

Antara panel forum tersebut adalah Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Kang Chez Chiang dan Ketua Pengarah Eksekutif Solace Sabah Addiction Retreat, Dr. Prem Kumar Shanmugam, manakala Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas sebagai moderator. Turut diadakan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara UM, Sathya Sai Academy for Human Values, FGIS dan Kumpulan Utusan bagi meningkatkan kemahiran para sukarelawan DARTS di UM dalam mendepani isu-isu berkaitan.














Kemeriahan Program EPL@Utusan

10 Mac 2018 (Sabtu) – Program EPL@Utusan membabitkan perlawanan antara Liverpool dan Manchester United telah berlangsung penuh meriah dan terus mendapat sokongan luar biasa daripada penyokong tempatan dan luar negara apabila lebih 700 penyokong kedua-dua kelab elit liga Inggeris tersebut hadir seawal pukul 6.00 petang di Dewan Utusan.
Program kali kedua yang ditaja oleh Standared Chartered ini bertujuan bagi menyemarakkan semangat kesukanan dan menyatukan padukan rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Selain tayangan perlawanan ini, Utusan Melayu turut berbesar hati memberikan langganan e-paper Utusan Malaysia secara percuma selama sebulan kepada 500 hadirin pertama yang hadir.
Selain itu, format acara tahun lalu dikekalkan iaitu menonton sambil berpeluang memenangi cabutan bertuah. Pelbagai hadiah menarik telah disediakan kepada pengunjung yang hadir termasuk topi keledar sumbangan Demak, tiket masuk ke taman tema air Sunway Lagoon, tiket penerbangan ke Jaipur, Ho Chi Minh, Pulau Jeju dan Maldives sumbangan Air Asia serta hadiah utama berupa tiket penerbangan ke London sumbangan Malaysia Airlines (MAS).

Hadir sama Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak; Ketua Pegawai Eksekutif MAS, Kapten Izham Ismail; Pengurus Kanan Komunikasi Korporat MAS, Anis Dzun Nurin dan Ketua Pegawai Eksekutif Standard Chartered Bank, Saadiq Ali Alawala. Turut hadir ialah Ketua Pegawai Eksekutif MyAngkasa Amanah Berhad, Datuk Saruji Aziz; Pengarah Komunikasi Korporat MRT Corp., Datuk Najumuddin Abdullah; Ahli Politik, Anina Saadudin dan Ketua Jawatankuasa Penganjuran epl@utusan, Johardy Ibrahim.

Lawatan Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) ke Utusan Melayu


6 Mac 2018 (Selasa) – Seramai 25 ahli Persatuan Keluarga Polis (PERKEP) Ibu Pejabat Polis Daerah Serdang telah mengadakan lawatan ke Ibu Pejabat Utusan Melayu (Malaysia) Berhad. Lawatan tersebut diketuai oleh Pengerusi PERKEP, YBhg. Datin Marion Saodah Ed Hamid disambut mesra oleh Pengurus Jabatan Pengarang, Ainol Amriz Ismail Ismail dan Pengurus Besar Jabatan Komunikasi Korporat, Jamal Ahmed. Selain diberi taklimat khusus mengenai sejarah Utusan Melayu serta proses penerbitan akhbar, rombongan yang terdiri daripada isteri anggota polis tersebut turut dibawa melawat ke Jabatan Pengarang untuk melihat secara jelas operasi penerbitan akhbar. Semoga lawatan ini dapat memberi manfaat sepenuhnya kepada rombongan yang hadir.


















Gotong-Royong Perdana Pasukan Keselamatan Kebakaran

28 Februari 2018 ( Rabu ) - Program ini di adakan selepas audit pemeriksaan oleh Pasukan Keselamatan Kebakaran (PKK) Kompleks Sri Utusan dan sempena pemeriksaan oleh Jabatan Bomba bertujuan untuk mendapat “Fire Certifcate” pada 13 Mac 2018. Selain anggota PKK sendiri , para sukarelawan juga terdiri dari Pemandu Forklift, Kakitangan Penyelenggaraan dan Kakitangan Pembersihan dari  Syarikat Gemilang Juta S/B.

Program bermula dengan berkumpul di Bilik Mesyuarat Utama :

Jam 9.30 am - Taklimat dari Tuan Pengerusi PKK (En.Rosman Zulkifli) dan Ketua Pasukan ( Kapt.Syed Zainal Abidin)

Jam 10.00 am        – Minum pagi (Sarapan ringan)

Jam 10.30 am        – Program bermula dengan kumpulan di bahagi kepada 2


Jam 12.30 T/hari    – Makan tengahari dan penutup serta cabutan bertuah untuk 5 peserta.

Anggota Pasukan Keselamatan Kebakaran Kompleks Sri Utusan dan para sukarelawan memanaskan badan sebelum memulakan gotong-royong.

Pembersihan sampah dan sawang di sudut kanan Gudang Printcorp.

Pembersihan sampah dan mengosongkan kawasan tengah Gudang Printcorp dan laluan keluar. 

Pembersihan sampah dan menyusun peralatan  dan mengosongkan laluan yang ada Alat Pemadam Api.

Rosman Zulkifli (tengah) Pengerusi PKK bergambar bersama anggotanya dan para sukarelawan

Hadiah cabutan bertuah berupa jam tangan di menangi oleh PKK Mohd Nawar bin Mohthar (kiri).

Klinik Jawi Bantu Pelajar Kuasai Penulisan dan Pembacaan Tulisan Jawi

6 Mac 2018 (Selasa) – Klinik Jawi yang dianjurkan oleh Utusan Melayu (Malaysia) Berhad sempena program Kenduri Bahasa Masjid Jamek 2018 mendapat sambutan menggalakkan dari pelajar sekolah sekitar ibu kota. Seramai 68 orang pelajar terlibat dalam program tersebut yang bertujuan bagi membudayakan tulisan jawi dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda.

Melalui klinik berkenaan para pelajar didedahkan dengan teknik ‘Douwra’ yang terbukti berkesan membantu dalam proses penulisan dan pembacaan tulisan jawi. Pelbagai aktiviti sampingan diadakan antaranya pertandingan pintar baca jawi dan pertandingan pintar eja jawi. Perasmian penutup Kenduri Bahasa Masjid Jamek 2018 telah disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah Kanan Bahagian Pengurusan Dakwah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI), Kamaldin Mohd. Damin. Diharap program seperti ini diteruskan untuk manfaat generasi akan datang. 







Sekitar Lawatan Badan Anak Yatim Alor Gajah 






Taklimat #Quranhour Sinergi Media Malaysia

27 Februari 2018 (Selasa) – Lebih 20 wakil organisasi media tempatan berkumpul di Dewan Utusan bagi mendengar Taklimat #Quranhour Sinergi Media Malaysia. Pertemuan itu bertujuan untuk menganjurkan World #QuranHour (WQH) kali ketiga oleh Yayasan Warisan Ummah (WUIF) pada 7 Jun 2018 bersamaan 22 Ramadan 1439H akan datang. Objektif utama program ini adalah untuk memastikan umat Islam memahami, berinteraksi dan mengamalkan pembacaan al-Quran serta membantu orang islam menjadi penganut yang baik.
Program yang bermula pada pukul 10.00 pagi hingga 12.00 tengah hari itu dianjurkan bersama oleh Kumpulan Utusan, Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF) dan wakil media disertai akhbar kumpulan The New Straits Times Press Bhd iaitu Berita Harian, New Straits Times dan Harian Metro. Turut serta, Kumpulan Media Karangkraf (KMK), Sinar Harian, stesen televisyen Media Prima Bhd, Astro, RTM dan BERNAMA.

Turut hadir ke majlis, Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Pengasas Yayasan Warisan Ummah Iklas, Datuk Husamuddin Yaakub dan beberapa wakil pelbagai media tempatan. Majlis turut menjemput beberapa orang pelajar tahfiz sebagai gimik pelancaran semasa majlis berlangsung. Diharap dengan penggemblengan sinergi media-media tempatan, program World Quran Hour tahun ini dapat memberi impak yang besar kepada masyarakat.









Mega Pejuang Hartanah 2018

24 Februari 2018 (Sabtu) – Penganjuran seminar Mega Pejuang Hartanah 2018: Peluang? Perangkap yang membincangkan teknik memiliki kediaman atau hartanah yang pertama kali diadakan berjaya menjadi platform kepada 500 peserta untuk menimba ilmu dalam bidang hartanah.
Program anjuran bersama Utusan Malaysia, Utusan Online, Pejuang Hartanah dan CelikHartanah.com itu bermula pukul 9 pagi hingga 10.30 malam. Seminar bersifat santai tersebut dikendalikan oleh usahawan hartanah, Ahyat Khalissabri Ishak yang berkongsi banyak teknik khas berkaitan jual, beli dan sewa hartanah yang boleh digunakan peserta untuk menceburkan diri dalam bidang yang semakin popular itu.
Antara ilmu yang dikongsi adalah mengenai teknik pemetaan hartanah, geografi hartanah, matematik hartanah, masalah dan peluang dalam dunia hartanah, mewujudkan ‘telaga duit’ melalui pembelian rumah serta pelbagai lagi ilmu untuk seseorang menjadi ‘Mogul’ hartanah. Selain ilmu mengenai hartanah, Ahyat Khalissabri turut berkongsi cara pengurusan kewangan individu serta motivasi diri sebagai persiapan untuk menghadapi dunia hartanah yang sangat mencabar.

Peserta program tersebut majoriti anak-anak muda Melayu berumur 20 hingga 40 tahun dan kebanyakannya merupakan pelajar universiti yang berminat dan ingin belajar me­ngenai pengurusan hartanah dan bagaimana untuk menjadikan hartanah sebagai punca pendapatan.





No comments:

Post a Comment