Tuesday 31 July 2018

Tinta Online Volume 4/2018 - 1 Julai 2018

Hampir 5000 Banjiri Restoran Hakim Seksyen 7 sempena Rentap Rusia 2018

15 Julai 2018 (Ahad) - Hampir 5000 pengunjung berkumpul di Restoran Hakim Seksyen 7 Shah Alam malam tadi untuk menonton Rentap Rusia 2018 perlawan akhir Piala Dunia 2018 yang dibawakan oleh akhbar Kosmo! bersama SURIA FM. Kemeriahan berlangsung seawal jam 5 petang lagi apabila penyampai-penyampai SURIA FM seperti Halim Othman, Tyzo dan Naim Hashim bersiaran langsung dari Restoran Hakim.

Pelbagai aktiviti-aktiviti menarik yang dianjurkan untuk pengunjung antaranya permainan video Playstation, Teka Balang dan Sepak Bola. Malah penonton yang bertuah juga berjaya membawa pulang Televisyen, Bola Rasmi Piala Dunia, Jersi Origina, hamper serta barangan eksklusif daripada Kosmo! dan SURIA. Sebelum perlawanan akhir bermula, penympai-penyampai SURIA yang terdiri daripada DJ Lin, Rara, Fizi Ali, Feeya Iskandar, Tyzo, Suraya, Bob Ringgo, Halim Othman dan Naim Hashim menggamatkan suasana di perkarangan Restoran Hakim.

Bekas penyampai SURIA iaitu Zulin Aziz turut tidak ketinggalan turun padang bersama-sama untuk memeriahkan Rentap Rusia 2018.Turut hadir pada malam itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri Kota Anggerik Mohd Najwan Halimi, Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Abdul Aziz Ishak, Pengarang Kosmo! Datuk Baharom Mahusin dan Penolong Pengarang 2 Kosmo! Lokman Othman. Tidak ketinggalan penaja dari DMFL, Datuk Muhammad Farhan Lokman.


Tahniah diucapkan kepada pasukan Perancis yang berjaya menewaskan lawan Croatia dengan kemenangan 4-2 pada malam tadi sekaligus mengulang kembali kejayaan mereka pada Piala Dunia 1998 20 tahun yang lalu. Terima kasih kepada hampir 5000 warga Shah Alam yang telah hadir memberikan sokongan padu bagi memeriahkan lagi Rentap Rusia 2018 malam tadi. Kita jumpa lagi pada tahun 2022.















Majlis Sambutan Aidilfitri Jabatan Pengarang Utusan Malaysia meriah

12 Julai 2018 (Khamis) - Walaupun sudah menghampiri penghujung Syawal,Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Pengarang Utusan Malaysia yang diadakan di Bangunan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad tetap berlangsung meriah.

Turut menampilkan barisan selebriti seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin, Datuk Jamal Abdillah, Sufian Suhaimi, Khai Bahar, Dayang Nurfaizah, Wany Hasrita, Raihan, Syafiq Kyle, Zoey Rahman serta Harris Annuar.

Majlis yang berlangsung selama hampir tiga jam itu bermula dari pukul 12.00 tengahari hingga pukul 3.00 petang menerima kunjung tetamu hampir 800 orang termasuk ahli keluarga dan juga orang ramai.

Pelbagai juadah menarik disediakan dalam majlis sambutan hari raya tersebut seperti ketupat, lemang, kambing bakar, laksa, nasi dagang dan bermacam-macam jenis lagi makanan yang ada.

Selain itu, majlis ini turut menyaksikan dua wartawan Utusan Malaysia, Hawa Mohd. Ali dan Ifqdar Rahman menerima anugerah busana terbaik kerana tampil menarik dengan pakaian masing-masing.

















Utusan Malaysia menang tiga kategori Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2017

13 Julai 2018 (Jumaat) - Wartawan, Jurugambar dan Kartunis Utusan Malaysia berjaya memenangani tiga kategori berbeza Hadiah Kewartawanan Malaysia MPI-Petronas 2017 dalam majlis Malam Wartawan Malaysia 2018 yang telah diadakan di Hotel Shangri-La Kuala Lumpur.

          Antara mereka yang menang ialah Kartunis, Norkamaro Mohd. Noor yang memenangi Kategori Kartun Editorial Terbaik untuk membawa pulang hadiah wang RM10,000 beserta sijil dan trofi. Jurugambar, Irwan Majid memenangi Kategori Kewartawanan Foto Cemerlang untuk membawa pulang hadiah wang RM10,000 beserta sijil dan trofi.

Sementara itu, Ketua Meja Sains dan Teknologi Utusan Malaysia, Laupa Junus menjadi pemenang bersama Kategori Penulisan Rencana Cemerlang dengan hadiah wang bernilai RM5,000 beserta sijil dan trofi.








TVKosmo! menang anugerah Dokumentari Video Terbaik Hadiah Kewartawanan Malaysia

13 Julai 2018 (Jumaat) - Wartawan TVKosmo! buat julung kalinya mengungguli kategori Dokumentari Video Terbaik menerusi dua pencalonan pada Malam Wartawan Malaysia 2018 bersempena Hadiah Kewartawanan Malaysia (HKM) Malaysian Press Institut (MPI)-Petronas 2017.

Kemenangan tempat pertama dimenangi oleh TVKosmo! menerusi video laporan khas bertajuk Merindu Merapoh, sekali gus membawa pulang wang tunai berjumlah RM10,000, trofi dan sijil penghargaan. Merindu Merapoh dihasilkan oleh tiga wartawan Kosmo! dan dua jurugambar iaitu Mohd. Hafizi Ahmad, Ameen Azizul Aziz, Muhammad Haikal Abdul Rahman, Djohan Shahrin Shah Sabli dan Mohd. Riduan Rizal Ahmad.

Sementara itu, video kedua bertajuk Mengembalikan Sinar Silam pula membawa pulang wang tunai berjumlah RM1,000, trofi dan sijil penghargaan. Video tersebut dihasilkan oleh tiga wartawan Kosmo! dan dua jurugambar, iaitu Sahlizah Mohamed, Nurul Faiqah Abd. Rahman, Amirul Amsyar Wan Ahmad Jailani, Djohan Shahrin Shah Sabli dan Mohd. Riduan Rizal Ahmad.

Acara yang diadakan di Hotel Shangri La itu turut dihadiri Menteri Luar, Datuk Saifuddin Abdullah, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin, Pengerusi Jawatankuasa Induk Pelaksana Malam Wartawan Malaysia 2018, Datuk Chamil Wariya dan Pengarang Kosmo!, Datuk Baharom Mahusin.






Akhbar Digital Terlaris 2017 Kekal Milik Utusan

Di sebalik kejatuhan versi bercetak akibat tohmahan pihak tertentu, tanpa disedari akhbar maya Kumpulan Utusan ini pula mulai popular dalam kalangan netizen di seluruh dunia pada tahun lalu. Terkini, firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) mengesahkan Utusan Malaysia kekal akhbar elektronik atau e-paper terlaris di Malaysia dan berbahasa Melayu No.1 di dunia dengan rekod luar biasa.

Data dikeluarkan itu serentak dengan laporan edaran bersih akhbar fizikal tempatan, menunjukkan Utusan Malaysia versi digital mencatatkan 207,745 langganan untuk tempoh dari Julai sehingga Disember tahun lalu. Mula diterbitkan pada 30 November 2012, angka kali ini mencipta rekod hampir sekali ganda mengatasi 138,473 langganan dari Januari hingga Jun tahun lepas dan 73,643 langganan untuk tempoh separuh masa kedua 2016.

Bermula hanya 995 langganan pada separuh masa pertama 2013, e-paper Utusan Malaysia memintas Berita Harian pada separuh kedua 2014, sekali gus mengatasi saingan terdekatnya itu yang sudah diterbitkan sejak 2012. Akhbar elektronik terbitan Media Prima Berhad itu sekadar 127,129 langganan manakala edisi BH Ahad pula (129,351) selain dua lagi keluaran oleh gergasi akhbar tersebut, Harian Metro (74,323) dan Metro Ahad (76,609). Turut mencipta rekod ialah akhbar maya Mingguan Malaysia yang mencatatkan 205,498 langganan untuk separuh kedua tahun lalu, melonjak berbanding hanya sebanyak 139,196 langganan dari Januari sehingga Jun tahun lepas.

Utusan Malaysia dan Mingguan Malaysia versi digital amat digemari pembaca seluruh dunia kerana boleh diakses seawal jam 5 pagi waktu Malaysia serta mengandungi semua edisi wilayah dengan kos harga langganan berpatutan. Peningkatan luar biasa itu menyaksikan kedua-dua akhbar maya terbitan Kumpulan Utusan ini turut mengatasi e-paper popular New Straits Times dan akhbar digital The Star, Daily Star masing-masing cuma 125,204 dan 116,179.


Dalam pada itu, e-paper berbahasa Cina terlaris, Sin Chew Daily pula merekodkan kemerosotan ketara apabila sekadar 64,016 langganan bagi tempoh yang sama berbanding 73,613 langganan pada enam bulan kedua pada 2016. Secara keseluruhan, ABC melaporkan edaran bersih semua 18 judul akhbar elektronik tempatan dari Julai sehingga Disember lalu sebanyak 1,440,982 langganan daripada 878,366 langganan pada separuh pertama tahun lepas.Trend populariti akhbar maya ini membuktikan peralihan signifikan minat pembaca tempatan mulai lebih gemar mengikuti akhbar arus perdana dalam versi digital yang amat luas akses capaian liputannya.

Kosmo!, Mingguan Kekal Akhbar Melayu Terlaris 2017

Trend kemerosotan jualan akhbar di seluruh negara tidak jadi penghalang untuk Kosmo! terus kekal sebagai akhbar harian berbahasa Melayu paling laris di Malaysia sepanjang 2017 lalu. Menurut laporan terkini dikeluarkan oleh firma pengauditan antarabangsa, Audit Bureau of Circulations (ABC) hari ini, akhbar terbitan Kumpulan Utusan itu mencatatkan purata edaran harian bersih sebanyak 155,996 naskhah.

Rekod dicatatkan antara tempoh Julai hingga Disember tahun lepas, sekali gus mengekalkan pencapaian memintas saingannya, Harian Metro sejak 2015, yang jatuh dengan sekadar 112,705 naskhah untuk jangka waktu yang sama. ABC turut melaporkan bahawa Utusan Malaysia, juga terbitan Kumpulan Utusan merekodkan edaran harian bersih kira-kira 112,050 naskhah, manakala akhbar saingannya, Berita Harian pula hanya setakat 69,985 naskhah.

Dalam pada itu, Mingguan Malaysia yang diterbitkan sejak 30 Ogos 1964, masih kekal sebagai akhbar berbahasa Melayu yang paling tinggi edarannya iaitu 245,911 naskhah diikuti adiknya, Kosmo! Ahad cuma 166,774 naskhah. Dua akhbar mingguan popular terbitan Kumpulan Utusan itu terus mengatasi saingan mereka, Metro Ahad yang sekadar 120,979 naskhah dan BH Ahad (62,927 naskhah) untuk sepanjang tempoh separuh kedua 2017 lalu. Malah Mingguan Malaysia muncul paling popular di seluruh Semenanjung Malaysia, manakala Sabah, Sarawak dan Labuan kekal dikuasai oleh Metro Ahad, lapor ABC dalam statistik terkini yang dikeluarkan di ibu negara.

Lebih unik, rekod edaran dicatakan itu mampu dicapai waima berlaku aliran kejatuhan jualan ketara kesemua akhbar bukan sahaja di Malaysia, bahkan di seluruh dunia ekoran persaingan sengit media berita atas talian. Setakat ini harian berbahasa Cina, Sin Chew Jit Poh masih kekal sebagai akhbar terlaris di Malaysia iaitu kira-kira 294,476 naskhah sementara The Star dengan 201,943 naskhah muncul akhbar berbahasa Inggeris yang popular. Trend kejatuhan edaran akhbar tempatan juga seiring senario peralihan minat pembaca beralih kepada platform digital yang dikatakan lebih pantas dan boleh diakses di mana-mana pada bila-bila masa.


Program World #QuranHour Surau Al-Huda

7 Jun 2018 (Khamis) – Hampir 100 kakitangan Kumpulan Utusan tidak melepaskan peluang menyertai program World #QuranHour (WQH) yang telah diadakan di Surau Al-Huda. Program yang berlangsung selama satu jam itu diadakan serentak di seluruh dunia bermula pada pukul 12 tengah hari bertujuan bagi menyemarakkan minat membaca al-Quran selain memahami makna-makna yang terkandung di dalam al-quran dan berusaha untuk mengamalkannya












Kejayaan Pendaki Solo diiktiraf Asia Book of Records

3 Jun 2018 (Ahad) – Pendaki Solo negara, Mohd. Noor Mat Amin, 51, mendapat pengiktirafan daripada Asia Book of Records terhadap dua kejayaan pendakiannya sebelum ini.
Pengiktirafan itu diberikan terhadap Pendakian Tangga Selama 24 jam Menara Kuala Lumpur pada tahun 2016 apabila Mohd. Noor mendaki tangga bangunan tersebut sebanyak 21 kali.
Satu lagi pengiktirafan adalah Pendakian Solo Dalam Himalaya 2017 yang menyaksikan Mohd. Noor menawan semua tujuh puncak Banjaran Himalaya yang berketinggian antara 5,000 meter (m) ke 6,000 m.
Dua sijil pengiktirafan tersebut disampaikan oleh Ketua Editor Asia Book of Records, Dr. Biswaroop Roy Chowdhury dalam satu majlis bersama Program Kesedaran Diabetes di sebuah hotel.



PLUS, Kumpulan Utusan edar bubur lambuk

25 Mei 2018 (Jumaat) – Sempena kedatangan bulan Ramadan, Kumpulan Utusan sekali lagi menganjurkan Program Bubur Lambuk Ramadan dengan kerjasama PLUS Malaysia Berhad (PLUS) di Masjid Jamek Kampung Baru. Kira-kira 9,000 bubur lambuk diedarkan kepada orang ramai di sekitar masjid dan beberapa kawasan rehat dan rawat (R&R) milik PLUS seawal pukul 5.00 petang.

            PLUS telah mengagihkan bubur lambuk sejak tahun 2015 namun kerjasama dengan Kumpulan Utusan baharu dijalankan tahun lalu. Hadir sama, Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor serta Pengurus Besar Komunikasi Korporat Kumpulan Utusan, Jamal Ahmed Ali Ahmad.







Majlis Berbuka Puasa bersama CIMB - 23 Mei 2018 (Rabu)

28 Mei 2018 (Isnin) - Bank Islam Malaysia Berhad (Bank Islam) meraikan warga Kumpulan Utusan dengan menyumbangkan juadah berbuka puasa di Ibu pejabat Utusan Melayu.
Sumbangan tersebut bertujuan bagi mengeratkan ukhwah antara Bank Islam dan warga Kumpulan Utusan selain memahami tugas mereka yang sering kesuntukan masa dalam mengejar berita sepanjang Ramadan.
         Sumbangan disampaikan oleh Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan Bank Islam, Wan Nor Khairi Wan Samad sebagai tanda penghargaan kepada warga media yang banyak memberi kerjasama dalam membuat liputan dan penyebaran maklumat mengenai Bank Islam. Kira-kira 400 bungkusan makanan mengandungi nasi beriani, epal, bubur kacang, aneka kuih dan air kotak diagihkan kepada warga Kumpulan Utusan.

      Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad; Penolong Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Hassan Mohd. Noor; Ketua Wilayah Tengah Bank Islam, Bostamam Hassan dan Timbalan Ketua Pegawai Syariah Bank Islam, Saiful Anuar Hambali.




Majlis Berbuka Puasa bersama CIMB - 23 Mei 2018 (Rabu)

Ketua Komunikasi Korporat Kumpulan CIMB, Suriawati Zainal (kiri) bersama kakitangan Utusan Malaysia pada majlis Berbuka Puasa Kumpulan Utusan Bersama CIMB di di Utusan Melayu.

Forum Rusia 2018

4 Jun 2018 (Isnin) – Bersempena dengan Piala Dunia 2018, Kumpulan Utusan melalui akhbarnya Utusan Malaysia telah mengadakan Forum Rusia 2018: Di Mana Malaysia? Bertempat di Dewan Utusan.  

       Forum yang bermula pada pukul 4.00 petang itu disertai oleh beberapa panel terkemuka yang mempunyai pengalaman cukup luas mengenai bola sepak negara iaitu ketua jurulatih skuad Bawah 23 (B-23) negara, Datuk Ong Kim Swee; bekas pemain kebangsaan pada era 1970-an, Datuk Santokh Singh; pengkritik sukan dan bekas wartawan, Rizal Hashim, dan pengulas sukan, Hafizal Hamad selaku moderator.

       Pelbagai isu dibincangkan dalam forum tersebut antaranya perancangan jangka pendek dan panjang serta program pembangunan untuk kumpulan pemain akar umbi yang konsisten selain mencontohi Jepun yang lima kali berturut-turut layak menyertai pusingan akhir Piala Dunia sejak 1998. Selain itu, tetamu jemputan juga turut diberi peluang untuk turut sama melontarkan pandangan.

         Turut hadir memeriahkan forum berkenaan ialah pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil, barisan pegawai Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional Malaysia (PFAM) yang diketuai Presidennya, Rezal Zambery Yahya dan Naib Presiden Persatuan Jurulatih Bola Sepak Malaysia (PJBM), Datuk Richard Scully.













Usahawan muda rai kakitangan Utusan berbuka puasa

30 Mei 2018 (Rabu) - Usaha berterusan warga Kumpulan Utusan menyampaikan berita terbaik buat rakyat Malaysia terus diraikan dalam satu majlis berbuka puasa yang diadakan di Dewan Besar Utusan.
          Majlis yang ditaja oleh usahawan muda, Datuk Muhammad Farhan Lokman itu dihadiri oleh kira-kira 250 kakitangan Kumpulan Utusan yang dihidangkan dengan pelbagai jenis juadah berbuka puasa seperti nasi kerabu, daging masak lemak cili api, martabak serta kuih-muih aneka jenis.
              Farhan ketika menyampaikan ucapan berkata, beliau berbesar hati menaja majlis tersebut sebagai tanda penghargaan terhadap petugas akhbar Utusan Malaysia.
             Yang turut hadir, ibu kepada Muhammad Farhan yang juga bekas wartawan The Star, Fauziah Mohd. Johar atau lebih dikenali sebagai Zieman; Timbalan Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Othman Mohamad, Pengarang Utusan Malaysia, Datuk Zulkefli Hamzah dan Pengurus Jabatan Pengarang Kumpulan Utusan, Ainol Amriz Ismail.






Mesyuarat Agung Tahunan ke-50

1 Jun 2018 (Jumaat) - Mesyuarat Agung Tahunan Utusan Melayu (Malaysia) Berhad kali ke-50 telah diadakan pada hari jumaat lalu di Dewan Besar yang dipengerusikan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas dan dihadiri hampir 100 pemegang saham.
         Mesyuarat yang bermula pada pukul 10.30 pagi itu dimulai dengan mengesahkan prestasi kewangan syarikat bagi tahun 2017. Utusan Melayu dan anak-anak syarikatnya (kumpulan) mencatatkan pengurangan kerugian sebelum cukai sebanyak RM16.9 juta daripada RM23 juta bagi suku pertama 2017 kepada RM6.1 juta bagi tempoh sama 2018.
        Penurunan kerugian itu disebabkan oleh pendapatan daripada projek pembekalan tablet kepada guru-guru yang masih lagi diteruskan untuk tahun 2018. Pendapatan daripada segmen penerbitan, pengedaran dan pengiklanan meningkat sebanyak 32.6 peratus.
           Pelbagai langkah dan inisiatif akan diambil bagi mempelbagaikan portfolio syarikat, ini termasuk memberi penekanan kepada segmen digital dan memperkasakan edisi cetak serta melaksanakan langkah-langkah pengurangan kos secara menyeluruh bagi mengelakkan kerugian antara RM7.5 hingga RM8 juta setiap bulan.
         Syarikat juga dijangka melaksanakan Skim Pemberhentian Sukarela (VSS) pada tahun ini melibatkan sekurang-kurangnya 50 peratus daripada 1,400 kakitangan meliputi semua peringkat termasuk anak-anak syarikat tetapi bergantung kepada kelulusan ahli lembaga pengarah.
      Diharap Utusan Melayu kembali mencatat keuntungan dalam tempoh terdekat berdasarkan beberapa langkah yang diambil dan akan terus komited untuk melakukan penambahbaikan dalam inovasi media dalam perniagaannya. 





Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim Kumpulan Utusan-Angkasa 2018


1 Jun 2018 (Jumaat) - Majlis Meraikan Anak-Anak Yatim Kumpulan Utusan bersama Angkasa yang telah diadakan di Dewan Utusan. Sambutan yang bersempena memperingati hari Nuzul al-Quran itu meraikan lebih 50 anak-anak yatim.
         Kerjasama yang telah memasuki tahun ketujuh itu turut disemarakkan dengan bacaan ayat suci al-Quran serta dimeriahkan persembahan selebriti, Sufian Suhaimi sebagai penghibur acara.
         Sumbangan dan duit raya telah disempurnakan oleh Pengarah Urusan Kumpulan, Datuk Mohd Noordin Abbas, Presiden Angkasa, Datuk Abdul Fattah Abdullah dan Ketua Pengarang Kumpulan, Datuk Abdul Aziz Ishak.

       Kesemua anak-anak yatim berkenaan menerima sumbangan duit raya daripada Yayasan Kumpulan Utusan dan BKUM selain cenderahati daripada syarikat pengeluar roti Gardenia, Mamee dan Minuman Jenama Supersquad..








No comments:

Post a Comment